Beras 5kg


Disampaikan cerita...

Di satu kawasan perumahan, tinggal lah para jemaah masjid yang terdiri dari berbagai latar-belakang pekerjaan. Dek kerja yang berbeza maka rumah kediaman pun berbezalah. Ada yang tinggal di rumah teres setingkat, ada yang teres dua tingkat, ada yang duduk rumah flat dan tak kurang yang menghuni rumah bungalow. Semua ikut kemampuan masing-masing lah kiranya.

Walau berbeza gaya hidup, nanum ikatan ukhwah di kalangan penduduk agak kuat. Kemesraan terserlah tiap-kali bertembung di masjid semasa solat berjamaah terutamanya Maghrib dan Isyak. Perbezaan status tidak menggugat hubungan silaturrahim sesama insan...alhamdulillah.

Di antara ramai-ramai jemaah, ada seorang hamba Allah yang dikenali sebagai Ahmad di kalangan rakan2nya. Ahmad bekerja sebagai seorang drebar di sebuah syarikat Jepun. Ramai yang tahu, Ahmad memang seorang yang baik-hati dan ringan tulang, selalu bersedia untuk membantu jika ada apa2 permasalahan dalam penyelenggaraan masjid. Dia mempunyai anak seramai 5 orang, tinggal pula di rumah flat yang terletak tak jauh dari masjid. Dia tidak mempunyai kereta, jadi hanya menggunakan motor kapchai nya saja untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Pada satu hari, Ahmad dan isteri bercadang untuk balik kampung. Untuk memuatkan anak2nya yang seramai 5 orang itu, dia telah menyewa van rakannya yang meniaga air tebu di pasar malam. Van lama Nissan c20 je, bukan Van Nissan Vannete yang baru sikit tu. Sementelah rakannya itu jual air tebu maka takde lah seat kat belakang van. Seat semua dah lama dicabut keluar. Jadi untuk keselesaan anak2nya, Ahmad pun letaklah tilam yang ada di rumah mereka untuk dijadikan pelapik duduk. Dapatlah anak-anaknya duduk dan baring2 di sepanjang perjalanan mereka balik ke Muar, Johor.

Semasa berhenti untuk mengisi minyak di stesen berhampiran, Ahmad tiba-tiba terserempak dengan Hj Anas, salah-seorang rakan masjidnya. Lalu apalagi, bertegur-sapa lah mereka.

Hj Anas: Assalamualaikum. ramai2 ni, nak ke mana Mad?

Ahmad: Waalaikummussalam... Oh cadang nak balik kampung la Haji...

Dari tingkap van yang terbuka luas, maka terpandanglah oleh Hj Anas akan anak2 Ahmad yang sedang duduk bersila ramai2 di belakang van itu. Secara tak sengaja, Hj Anas ternampak pula 6 - 7 kampit beras yang dalam saiz pek 5kg.

Hj Anas: Hai Mad, banyak beras... jual ke?
(Niat Hj Anas, kalau Ahmad meniaga beras, boleh la dia tolong2.. beli dalam sekampit)

Ahmad: Err... taklah.. takde jual pun Haji... saja nak wat balik kampung, mana tau kot kat tengah jalan nanti jumpa sapa2 yang susah, boleh la hulur...

Terkedu Hj Anas selepas mendengar jawapan Ahmad. Rasa semacam ada satu tumbukan pula pada wajahnya sendiri. Kenapalah dia tak pernah pun teringat nak buat sebagaimana yang Ahmad buat. Ahmad yang bergaji kecil boleh teransang untuk membuat kebajikan seperti itu, sedangkan dia yang bergaji beribu ribu lemon tak pernah pulak terfikir ke arah itu. Dan satu lagi hal yang pasti, dia rasa macam banyak la pulak jumlahnya kalau nak bersedekah sebanyak itu.. congak2 kalau beras yang Taj Murah saja pun dah dalam RM15 sekampit untuk 5kg (... tu belum lagi beli yang Taj Mahal), kalau 7 kampit dah berapa... ohh

Termenung Hj Anas sambil tangan perlahan-lahan memusing stering keluar dari kawasan stesen...

Comments
0 Comments

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

kasih komentar