PENGENALAN NUR (CAHAYA)
Nur atau cahaya itu ialah sesuatu yang menyebabkan kita nampak dengan jelas
akan sesuatu. Baik dengan mata kepala (Nazariah) kita atau mata hati
(Basariah). Ia adalah perlu untuk kehidupan manusia terutama dalam
kehidupan yang berhubung dengan agama dan penerimaan petunjuk daripada
Allah s.w.t.
Hakikat Nur
Nur bermaksud cahaya, lawannya gelap. Selain itu nur juga bererti petunjuk
atau hidayah. Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Quran.
Di dalam Al-Quran, terdapat 43 perkataan An-Nur yang membawa pelbagai
makna. Antaranya :
1 Petunjuk dan Keimanan
Allah Pelindung bagi orang-orang yang beriman. Dia
mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya. Dan orang
orang yang kafir, pelindung mereka adalah Thagut (syaitan) ,
mengeluarkan mereka daripada Nur petunjuk dan iman kepada
kegelapan iaitu kekufuran.1
2 Waktu Siang
Maha suci Allah yang menjadikan langit dan bumi dan telah menjadikan
kegelapan dan cahaya.2
2 Nabi Muhammad saw
Telah datang kepada kamu nur iaitu Nabi Muhammad dan kitab
yang nyata.3
3 Taurat dan Injil
Dan kami datangkan Injil didalamnya ada petunjuk dan Nur.4
Dan kami datangkan kepadanya taurat di dalamnya ada petunjuk
dan Nur.5
PEMBAHASAN AYAT 35 DARI SURAH AN-NUR
Allah pemberi cahaya kepada langit dan bumi. Perumpamaan
cahayaNya adalah seperti sebuah lubang besar yang tidak tembus,
yang di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam kaca dan kaca itu
seakan-akan bintang yang begemerlapan yang dinyalakan dari
pohon yang banyak berkahnya, iaitu pohon zaitun yang tidak
tumbuh di sebelah Timur dan tidak pula tumbuh di sebelah Barat.
Yang minyaknya sahaja hampir-hampir menerangi, walaupun
tidak di sentuh api. Cahaya di atas cahaya berlapisan, Allah
membimbing kepada cahayaNya siapa yang dikehendaki dan Allah
membuat perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha
mengetahui segala sesuatu.6
Terjemahan Ayat Dalam Bahasa Inggeris
Allah is the Light of the heavens and the earth. The parable
of His Light is as (if there were) a niche within it a lamp :
the lamp is in the glass, the glass as it were a brilliant star,
lit from a blessed tree, an olive, neither of the east nor of the
west, whose oil would almost glow forth (of itself) through
no fire touched it. Light upon Light! Allah guides to His
Light whom He wills. And Allah sets forth parables for
mankind, and Allah is Knower of everything.
Pendapat Ulama Tafsir Berkenaan Perumpamaan Pada Ayat 35 Surah An-Nur Kenyataan Pada Ayat
1. Allah, Dialah cahaya langit dan bumi
2. Bandingan nurNya adalah seperti sebuah "Misykaat"
3. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya kepada nurNya itu
4. Allah mengemukakan berbagai-bagai perumpamaan untuk umat manusia
5. Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu
Perumpamaan Pada Ayat
1. NurNya adalah seperti sebuah Misykat
2. Misykat yang berisi sebuah lampu (Misbah)
3. Lampu itu di dalam kaca (Zujajah)
4. Kaca itu pula jernih terang laksana bintang yang bersinar cemerlang
(Kaukabun Durriyun)
5. Lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak
manfaatnya (Syajarah Mubarakah)
6. Iaitu pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya
dan bukan sahaja semasa turunnya (La Syarqiyyah Wa La Gharbiyyah)
7. Hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya
walaupun ia tidak disentuh api (Yakaadu zaituha yudhi- u walau lam
tamsashu naar)
8. Cahaya berlapis cahaya (Nur ‘ala Nur)
Tafsiran Ayat
Allah yang empunya cahaya dan dengan cahaya itu penduduk yang ada di
langit dan di bumi ini dipimpinNya dan ditunjukiNya dengan bukti-bukti
wujud alam semesta dan bukti pengajaran yang dibawa oleh para utusanNya .
Maka dengan cahayaNya itulah manusia akan terpimpin ke jalan yang hak dan
terhindar dari kesesatan.
Perumpamaan bukti yang dipancarkan keseluruh alam ini ibarat cahaya dari
sebuah lampu pelita yang terletak di dalam sebuah lubang dinding, atau
pembuluh seperti lampu suluh.
Dan pelita atau lampu itu sifatnya seperti berikut :
Pelita yang bercahaya itu berada di dalam sebuah kaca atau gelas yang terang
dan bersinar.
Kaca yang menutupi pelita itu seolah-olahnya seperti sebuah bintang yang amat
besar daripada jenis bintang-bintang di langit seperti bintang timur (zuhrah)
ataupun bintang musytari.
Pelita itu menyala dengan perantaraan minyak zaitun yang membasahi
sumbunya, dari sebatang pohon yang menghasilkan buah zaitun, dan pohon itu
dinamakan Syajarah Al-Mubarakah (pohon yang berkat) kerana buah zaitun
itu minyaknya mempunyai kegunaan atau faedah yang sangat banyak. Pohon
zaitun itu pula tumbuhnya di lereng-lereng gunung atau di padang-padang
pasir yang luas, terdedah di bawah sinaran matahari, tidak terlindung oleh
sesuatu apa pun selama terbit matahari itu hingga terbenam. Dan minyak zaitun
itu pula sangat jernih.
Lafaz La Syarqiyyah Wala Gharbiyyah (tidak di timur dan di barat)
maksudnya, pohon zaitun itu kebanyakannya tumbuh di negeri-negeri daerah
timur tengah seperti Syam (sekarang Syria) dan dia bukanlah negeri timur atau
negeri barat.
Oleh kerana minyak zaitun itu terlalu jernih, kelihatanlah dari jauh seolah-olah
dia yang menyinarkan cahaya, dan kalau disentuh oleh api, maka akan
bertambah-tambah lagi terang cahayanya. Maka inilah yang dinyatakan oleh
Allah swt dengan firmannya Nur ‘Ala Nur (Cahaya Atas Cahaya).
Dimaksudkan di sini Cahaya Allah itu diumpamakan sebagai petunjuk daripada
Al-Quran, dan ia adalah seperti pelita yang terang benderang menerangi umat
manusia yang hidupnya di dalam gelap gelita, yakni kejahilan. Cahaya Al-Quran
itulah laksana cahaya lampu, dan lampu itu berada di dalam sebuah kaca atau
gelas yang sangat jernih, sedang cahayanya pula seperti cahaya bintang yang
berkilau-kilauan di atas langit. Lampu itu dinyalakan oleh minyak zaitun, yang
tumbuh pohonnya kebanyakan di negeri yang bukan barat dan bukan timur.
Sedang minyaknya sangat jernih pula, sehingga kerana kejernihannya seolaholahnya
bercahaya dengan sendiri maskipun ia tidak disentuh oleh api – ibarat
lampu elektrik zaman ini.
Wujudnya tenaga elektrik itu tidaklah ditentukan datangnya dari barat ataupun
dari timur. Maka dari elektrik, lampu nyala dengan sendirinya tanpa
menggunakan api. Begitulah dibaratkan hati seorang manusia mukmin itu dapat
menerima petunjuk sebelum di didatangi ilmu pengetahuan. Apabila dia
didatangi ilmu pengetahuan, semakain mendapat petunjuk pula dan inilah yang
diakatakan Cahaya Atas Cahaya.
Bahagian-bahagian pelita itu antara satu sama lain mempunyai hubungan yang
erat dapat mengeluarkan cahaya yang kuat seperti lampu suluh yang terdiri
daripada bahagian-bahagiannya iaitu :
1. Lubang (Misykah) tempat dipasangkan lampu
2. Lampu (Misbah) iaitu balbnya yang akan menyala
3. Kaca atau gelas (Zujajah) yang bersinar-sinar menudungi lampu tersebut
4. Minyaknya (Zaitunah) atau kuasa elektrik yang menerbitkan cahaya,
sehingga lampu suluh itu menyala.
Maka keempat-empat bahagian itu kalau sudah bersatu dan menjadi lampu
suluh , kuatlah pancaran lampu tersebut. Sudah tentu lampu itu kalau tidak
dilekatkan di sebuah lubang bahkan diletakkan di tempat yang terbuka, nescaya
lampu itu tidak dapat memberi cahaya yang kuat sebagaimana kalau lampu
yang berada di lubang seperti lampu suluh. Lampu yang berada di dalam
lubang (Misykah) itu ibarat menyuluh filem yang ditayangkan di sebuah layar
dan kelihatanlah di situ cahayanya yang terang dapat disaksikan oleh orang
yang sedang berada dalam kegelapan.
Maka orang yang hidup dalam kegelapan itu dapatlah berubah menjadi terang,
yakni berilmu pengetahuan.
Allah swt memberikan taufik dan petunjukNya kepada orang-orang yang
disukaiNya daripada hamba-hambaNya untuk mendapatkan perkara-perkara
yang hak dengan jalan memperhatikan sesuatu perkara itu dan memikirkannya,
sehingga sampailah kepada matlamat yang ditujunya. Dan barangsiapa yang
tidak mengambil pengajaran atau iktibar, samalah seperti orang yang buta. Dia
tidak akan dapat berjalan dengan betul di tengah terang apatah lagi di malam
yang gelap. Berkata Sayyidina Ali ra : Allah sebagai cahaya yang menerangi
langit dan bumi. Dan di sana disebarkanNya kebenaran dan dipancarkan
sinaran cahayaNya.
Allah swt membawakan banyak perumpamaan dalam Al-Quran, untuk menjadi
pengajaran dan pimpinan kepada manusia, agar mereka terima dengan perasaan
puas dan senang hati.
Allah swt lebih mengetahui untuk mengurniakan petunjukNya kepada sesiapa
yang layak menerimanya disebabkan mempunyai jiwa yang bersih, dan ada
persediaannya untuk mempelajari hukum-hukum agama serta adab-adabnya
yang baik.
Ayat ini mengandungi kegembiraan bagi orang-orang yang mahu mengambil
teladan, dan mengandungi ancaman bagi yang tidak mahu memikir dan
memperhatikannya.
Berkata Ibnu Abbas : Inilah perumpamaan cahaya Allah dan dipertunjukkanNya
dalam hati orang-orang mukmin laksana minyak yang jernih, hampir sahaja dia
memberi penerangan sebelum lagi di disentuh oleh api. Sekiranya sudah
disentuh api, maka akan bertambahlah sinaran cahayanya. Begitulah hati orangorang
yang beriman.
Tafsiran Ayat Dari Tafsir As-Silmi (Haqaiq At-Tafsir)
(Allah pemberi cahaya kepada langit dan bumi)
Berkata Ibn Athaillah : Sesungguhnya Allah swt menerangi langit dengan 12
kukusan bintang iaitu kambing biri-biri, lembu, bintang kembar dua, bintang
ketam, bintang singa, bintang gadis, bintang neraca, bintang kala, bintang panah,
bintang kambing, bintang timba, dan bintang ikan.
Begitu juga Allah swt menghiasi hati orang-orang yang mengetahui (Al-Arifin)
dengan 12 perkara iaitu : minda, perhatian, kelapangan, makrifat, keyakinan,
kefahaman, pandangan, pemberian hati, pengharapan, keaiban dan kecintaan.
Sekiranya sifat-sifat yang tersebut di atas diterapkan dalam jiwa seseorang
muslim dan orang-orang yang mengetahui (Al-Arifin), maka ia akan
memperolehi kemanisan ibadah dan berada di bawah cahaya Allah swt.
Al-Misykah dimaksudkan dengan rongga Nabi Muhammad saw. Az-Zujajah :
hatinya, Al-Misbah : cahaya yang dijadikan Allah swt dalam hatinya. As-
Syajarah : Nabi Ibrahim as. Yakni cahaya yang dijadikan Allah wt dalam hatinya
sebagaimana yang dijadikan kepada Nabi Muhammad saw.
Berkata Ibn Mas’ud: Perumpamaan cahaya seorang mukmin adalah seperti
Misykah. Al-Misykah dimaksudkan dada seorang mukmin. Al-Misbah ialah
cahaya hati seorang mukmin. Az-Zujajah ialah rahsia seorang mukmin.
Al-Wasithi berkata bahawa sesungguhnya menciptakan jiwa yang beriman dan
menamakannya Syajarah Mubarakah (Pokok yang diberkati).
Sahl berpendapat bahawa Nur bermaksud Nur Nabi Muhammad saw. Sufyan
Ath-Thauri berkata Nur itu ialah cahaya Al-Quran. Hassan Al-Basri
berpendapat pula Nur iaitu ialah hati seorang mukmin dan cahaya tauhid. Ini
disebabkan hati para nabi itu lebih bercahaya dari cahaya yang disifatkan ini.
Imam Al-Junied berpendapat ayat (Allah pemberi cahaya kepada langit dan
bumi) bermaksud Allah swt yang menerangi hati para malaikat sehingga mereka
bertasbih dan menyucikanNya. Dan juga menerangi hati-hati para rasul dan juga
orang-orang yang beriman hingga mereka mengenali Allah swt dengan sebenarbenar
pengenalan dan menyembahNya dengan sebenar-benar penyembahan.
Allah swt mengatakan kepada orang-orang yang beriman : Sesungguhnya Aku
menerangi hati-hati kamu dengan petunjuk dan makrifat.
Sebahagian ulama mengatakan sesungguhnya Allah swt menerangi hati dengan
cahaya keimanan. Dan hati itu ibarat Misykat (lubang) dan perkara-perkara
yang mengotori jiwa itu ibarat Zujajah (kaca) yang tidak akan dimasuki
kejahilan dan kesesatan di hati orang-orang yang beriman.
Abu Ali Al-Jurjani pula mengatakan bahawa Allah swt menerangi hati para
mukmin dengan cahaya keterangan. Allah swt adalah pemberi cahaya kepada
langit dan cahaya itu ibarat keyakinan yang bersinar di hati seorang mukmin.
Hati seorang mukmin itu penuh dengan cahaya keimanan, maka cahaya Allah
itu dipancarkan dengan penjelasan yang nyata.
Maka seseorang yang beriman itu akan melihat sekelian alam ini dengan cahaya
tuhanNya. Maka dengan cahaya itu, ia melihat segala keindahan ciptaan
tuhanNya. Ia akan melihat kekuasan Allah swt dan segala kerajaanNya dengan
cahaya makrifat. Lalu, Allah swt pula akan membuka baginya cahaya ilmu yang
berada di langit yang tujuh dan bumi.
Imam Jaafar Bin Muhammad berpendapat bahawa cahaya itu terbahagi kepada
beberapa bahagian. Antara lain cahaya penjagaan hati, cahaya ketakutan, cahaya
pengharapan, cahaya kecintaan, cahaya tafakkur, cahaya keyakinan, cahaya
peringatan, cahaya ilmu, cahaya perasaan malu, cahaya kemanisan iman, cahaya
Islam, cahaya Ihsan, cahaya kenikmatan, cahaya pemberian, cahaya nikmat,
cahaya kemurahan hati, cahaya kelembutan, cahaya ketenangan, cahaya
kemuliaan, cahaya kekuasaan, cahaya keadilan, cahaya kehaibahan, cahaya yang
kekal, cahaya tersendiri, cahaya kesempurnaan dan cahaya azali.
Kesemua cahaya-cahaya ini mempunyai keadaan dan tempatnya masingmasing.
Kesemua cahaya ini juga merupakan cahaya Allah swt yang terdapat
pada ayat (Allah Pemberi cahaya bagi langit dan bumi).
(Allah Cahaya Bagi Langit dan bumi) bererti bagi setiap hamba itu cahaya dari
cahaya-cahaya yang disebut di atas. Nasibnya bertambah baik jika ia
memperolehi dua daripadanya atau tiga. Orang yang mendapat kesemua
cahaya-cahaya ini ialah Nabi Muhammad saw. Sesungguhnya baginda bersama
Allah swt dengan hakikat pengabdian yang sebenarnya.
Sebahagian ulama berpendapat bahawa cahaya langit itu adalah para malaikat,
manakala cahaya bumi pula adalah para wali-wali Allah. Ada juga yang
mengatakan bahawa cahaya di langit adalah menzahirkan haibah dan di bumi
pula adalah menzahirkan kekuatan / kemampuan.
Sebahagian para ulama lain pula berpendapat bahawa perumpamaan cahaya
Allah itu di hati orang beriman yang ikhlas.
Imam Hussain berkata bahawa cahaya wahyu terdapat di atas kepala , cahaya
munajat terdapat di antara dua mata, cahaya keyakinan di telinga, cahaya
keterangan di lidah, cahaya keimanan di hati dan cahaya tasbih di anggotaanggota
yang lain.
Imam Al-Jurjani berkata bahawa sekelian langit dan bumi itu diterangi dengan
cahaya Allah swt dan keterangannya. KeteranganNya itu ialah cahaya keyakinan
yang bersinar dalam hati seorang yang beriman.
Sebahagian ulama pula mengatakan bahawa orang yang beriman memiliki lapan
cahaya iaitu cahaya ruh, cahaya rahsia, cahaya atas cahaya iaitu cahaya petunjuk
cahaya ilmu, cahaya taufiq, cahaya pemeliharaan, cahaya sumpah dan cahaya
kehidupan.
Ayat (Cahaya Allah itu ibarat Misykat) bermaksud cahaya Allah swt di hati
orang yang beriman dan ikhlas seperti Misykat (lubang) iaitu lubuk hatinya.
Dan Misbah (lampu) itu cahaya yang dipancarkan dalam hatinya. Zujajah (kaca)
itu ibarat Taufiq dan Taufiq itu diperolehi dengan makrifat yang sebenarnya.
Kaca itu ibarat bintang yang begemerlapan seperti cahaya. Makrifat itu bersinar
dalam hati orang-orang Arif dengan cahaya Taufiq. Cahaya makrifat itu juga
bersinar di hati orang yang beriman dari sebatang pokok yang diberkati dan
menyinari seseorang yang diberkati pula sehingga jelas nampak cahaya batin
dalam perilakunya yang suci.
Ayat (Hampir-hampir minyaknya itu menerangi walupun tidak disentuh
cahaya) bererti hampir-hampir cahaya itu menerangi dari hati orang yang
beriman kepda lidahnya sekiranya ia berzikir kepada Allah swt.
Imam Jaafar Bin Muhammad As-Saadiq berpendapat sesungguhnya Allah swt
menerangi langit dengan cahaya bintang-bintang, matahari dan bulan. Dan
menerangi bumi dengan cahaya tumbuh-tumbhan yang merah, kuning, putih
dan sebagainya. Dan menerangi hati orang-orang mukmin dengan cahaya
keimanan, keislaman, dan menerangi jalan kepada Allah swt dengan cahaya
Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Sebagaimana sabda Rasulullah saw :
“Para sahabatku adalah ibarat bintang-bintang di langit. Maka
apabila kamu mencontohi mereka, maka kamu akan mendapat
petunjuk”
Ibn Athaillah berpendapat bahawa lafaz La Syarqiyyah Wal Gharbiyyah (tidak
di timur dan tidak dibarat) bermaksud tidak dekat dan tidak jauh. Yakni Allah
swt dari dekat dirasakan jauh, dan sebaliknya dari jauh dirasakan dekat. Imam
Jaafar pula berpendapat maksudnya tiada perasaan takut dan tiada pula
perasaan pengharapan. Al-Wasithi pula berkata tiada di dunia dan tiada pula di
akhirat.
Imam Al-Jurjani pada mentafsirkan ayat Nur ‘Ala Nur Nur (cahaya atas cahaya),
beliau mengatakan bahawa Ar-Raja’ (pengharapan) itu ibarat cahaya dan Al-
Khauf (ketakutan) itu juga ibarat cahaya. Mahabbah (cinta) itu juga ibarat
cahaya. Apabila kesemua sifat-sifat ini bersatu dalam hati orang yang beriman,
maka berlaku di sana cahaya atas cahaya. Allah swt akan memberi petunjuk
dengan cahayaNya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dan yang telah
berjaya mencapai cahaya-cahaya ini dari cahaya Allah swt di Azali. Cahayacahaya
ini hanya boleh diperolehi dengan melaksanakan suruhan Allah swt,
meninggalkan segala laranganNya, dengan membuat kebajikan dan ibadaibadah
yang sunnah hingga jadilah seseorang itu dipenuhi cahaya dari sisi Allah
swt.
PEMBAHASAN NUR (CAHAYA) OLEH IMAM HUJJATUL ISLAM
AL-GHAZZALI (SEBAHAGIAN TERJEMAHAN DARI KITAB MISYKATUL ANWAR)
Pembahasan tentang cahaya ini rasanya tidak akan memadai tanpa kita merujuk
kepada apa yang telah diterangkan oleh Imam Al-Ghazzali dalam kitabnya
Misykatul Anwar. Imam Al-Ghazzali adalah seorang pemikir Islam dan juga
pemikir yang banyak memikirkan tentang maslahat umat manusia secara zahir
dan bathin.
Kitab Misykatul Anwar adalah contoh yang menunjukkan perjalanan hidup
Imam Al-Ghazzali dalam mencari hakikat dan tujuan kehidupan yang
sebenarnya.
Antara lain yang dijelaskan dalam kitab beliau ialah :
Penjelasan tentang rahsia-rahsia cahaya Ilahi ( Bab ini diterangkan setelah
beliau mencapai tahap pemikiran yang tertentu dan ingin
memastikannya)
Menjelaskan tentang rahsia-rahsia cahaya tersebut dengan kaitan ayat
Nur dan hadis Hijab dan membahagikan pembahasan ini dalam tiga bab
utama.
Dalam bab pertama, beliau menerangkan makna cahaya, antara lain
menjelaskan hakikat cahaya yang sebenarnya iaitu Allah swt dan cahaya
itu bukanlah cahaya yang ditakrifkan dan difahami oleh manusia dan
dapat diertikan oleh akal pemikiran manusia yang terbatas.
Dalam bab kedua, beliau menjelaskan pula rahsia-rahsia perumpamaan
ayat7 Allah swt tentang cahayaNya iaitu perhatian kepada pengertian
kalimat Misykat, Misbah, Zujajah, Syajarah, Zait dan Naar. Kemudian
menjelaskan tentang tingkatan ruh-ruh manusia dan penerangannya.
Dalam bab ketiga, Imam Al-Ghazzali, menjelaskan pula tentang hadis
Hijab dengan tumpuan kepada maksud hijab dan pembahagiannya.
BAHAGIAN PERTAMA
Ayat Tentang Cahaya
"Allah cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahayaNya itu laksana
sebuah Misykaat; di dalamnya ada lampu. Lampu itu di dalam sebuah
kaca. Kaca itu laksana bintang yang gemerlapan. Dipasang dari sebatang
kayu yang beroleh berkat, iaitu (minyak) pohon zaitun, tidak timur, dan
tidak barat. Hampir sahaja minyak itu bernyala-nyala walaupun ia belum
disentuh oleh api. Cahaya Atas Cahaya".8
Ayat Tentang Kegelapan
"Tetapi bagi orang-orang kafir, perbuatan mereka itu adalah ibarat kegelapan yang
bertimbun-timbun di laut yang sangat dalam yang berombak dan dilapisi lagi dengan
ombak di atas awan gelap, Gelap di atas Gelap, sehingga jika seseorang menghulurkan
tangannya, tidaklah kelihatan tangan itu. Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak
beri cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya". 9
Hadis Tentang Cahaya Allah
"Allah mempunyai tujuh puluh ribu hijab (tabir) cahaya dan
gelap. Sekiranya Ia membuka hijab itu, maka keagunganNya pasti
akan menghancurkan sesiapa yang mengenalinya dengan
pandangan".10
Hakikat Cahaya
Cahaya hakiki yang sebenarnya ialah Allah swt. Penggunaan kalimat cahaya
selain daripada Allah adalah perumpamaan sahaja dan tidak membawa maksud
yang sebenarnya.
Penggunaan kalimat cahaya digunakan pada 3 pengertian :
Pengertian pada orang awam
Pengertian pada orang khusus
Pengertian pada orang yang lebih khusus
Pengertian pada orang awam
Cahaya bererti sesuatu yang zahir dan kelihatan. Yang dimaksudkan di sini ialah
sesuatu itu kelihatan kepada sesuatu yang lain daripadanya, atau tidak kelihatan
(tersembunyi) daripada sesuatu yang lain daripadanya. Maka sesuatu dapat
dilihat ialah kerana wujudnya penglihatan. Sesuatu benda dari segi penglihatan
itu terbahagi kepada tiga :
1. Sesuatu yang dengan sendirinya tidak boleh kelihatan seperti sesuatu
yang gelap.
2. Sesuatu yang dengan sendirinya boleh kelihatan, tetapi tidak boleh
membuat benda lain kelihatan seperti bintang-bintang dan api yang
belum menyala.
3. Sesuatu yang dengan sendirinya boleh kelihatan dan juga boleh membuat
benda lain kelihatan seperti bulan, matahari, lampu dan api yang
menyala.
Kesimpulannya, cahaya pada pengertian umum ialah kalimat yang digunakan
untuk sesuatu yang dengan sendirinya boleh kelihatan dan boleh membuat
benda yang lain kelihatan.
Pengertian pada orang khusus
Hakikat cahaya ialah sesuatu yang kelihatan dan menyebabkan sesuatu yang
lain itu kelihatan.
Cahaya yang zahir ini menyerupai ruh yang disifatkan sebagai satu penglihatan
juga. Ruh itu memainkan peranan penting dalam penglihatan, bahkan ia lebih
penting kerana ruh orang yang melihat itulah yang mengerti sesuatu. Melalui
ruh, seseorang itu dapat memahami dan mengerti sesuatu yang dilihat.
Sebenarnya, perkataan cahaya itu ialah sesuatu yang melihat. Yang melihat itu
adalah mata. Cahayalah yang membolehkan mata itu melihat. Tanpa cahaya,
mata tidak dapat berfungsi dan tidak dapat menghasilkan penglihatan. Oleh
kerana itu, manusia menggunakan istilah cahaya mata.
Sebagai contoh :
Orang yang kabur matanya, dikatakan cahaya penglihatannya kabur.
Orang yang lemah penglihatannya, dikatakan cahaya pandangan
matanya lemah.
Orang yang buta, dikatakan cahayanya gelap.
Pengertian pada orang yang lebih khusus
Cahaya penglihatan biasa itu ada kekurangan dan kecacatannya. Antara lain
kecacatannya :
Ia dapat melihat benda lain tetapi tidak melihat dirinya sendiri.
Ia juga tidak dapat melihat sesuatu yang sangat jauh atau yang sangat
dekat.
Ia tidak dapat melihat sesuatu yang di belakang dinding.
Ia melihat yang diluar sahaja dan tidak dapat melihat yang di dalam.
Ia melihat sebahagaian sahaja bukan keseluruhan.
Ia melihat perkara yang terbatas atau terhad dan tidak melihat perkara
yang tidak terbatas.
Dalam melihat itu pula, ia banyak membuat kesalahan, kerana apa yang
sebenarnya besar, pada pandangannya kelihatan kecil, apa yang jauh
kelihatan dekat, apa yang diam kelihatan bergerak, apa yang bergerak
kelihatan diam.
Sesungguhnya pada hati manusia itu ada mata yang bebas dari segala
kekurangan yang ada pada mata biasa yang ada pada manusia iaitu Aqal, Ruh
dan Jiwa.
Dari penjelasan di atas berkenaan cahaya, maka disini wajarlah Aqal itu digelar
cahaya dan bukannya mata. Memang benar dikatakan bahawa antara keduanya
itu ada perbezaan yang besar nilainya, sehingga kita boleh mengatakan bahawa
AQAL itulah yang sebenarnya dipanggil CAHAYA.
Kaitan cahaya dengan Allah swt
Maksud ‘Allah itu cahaya langit dan bumi”
Kiasannya, cahaya itu membolehkan kita melihat warna. Contohnya, pada siang
hari apabila kita melihat tumbuh-tumbuhan, maka kita akan mengatakan
bahawa kita tidak melihat sesuatu yang lain kecuali warna hijau. Mungkin di
sini diperbahaskan oleh sebahagian orang bahawa cahaya itu tidak wujud, yang
kelihatan hanya warna hijau sahaja.
Dengan demikian, mereka menafikan wujudnya cahaya meskipun cahaya itulah
yang paling terang dan menyebabkan warna itu kelihatan. Dengan adanya
cahayalah, maka benda-benda itu kelihatan kerana cahaya itu boleh kelihatan
dan membuat benda-benda yang lain kelihatan.
Tetapi apabila datangnya malam, maka barulah mereka sedar bahawa adanya
perbezaan antara bayangan atau gelap dengan cahaya. Maka barulah mereka
meyakini bahawa cahaya itu memang ada disebalik setiap warna dan dilihat
bersama warna.
Maka di sini, boleh dikatakan oleh kerana kesatuan cahaya dengan warna itu,
hinggakan cahaya itu tidak disedari ada di situ, mungkin kerana terlampau
terang sehingga menyebabkan cahaya tidak kelihatan. Ini disebabkan kerana
sesuatu yang melampaui dari sempadan hadnya akan masuk ke wilayah yang
berlawanan dengannya.
Dengan penjelasan ini, dikatakan bahawa kita boleh melihat Allah swt
disamping seuatu benda itu. Umpamanya, ada yang berkata :
‘Tidak saya lihat sesuatu pun melainkan saya lihat Allah swt”11
Al-Quran ada menerangkan :
“Tidakkah cukup bahawa Tuhanmu melihat semuanya”12
Dalam ayat yang lain Allah mengatakan :
“Kami akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda Kami dalam
seluruh alam dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi
mereka bahawa Al-Quran itu adalah benar”13
Dalam bicara melihat Allah ini, harus kita ketahui bahawa ada yang melihat
Allah secara terus menerus iaitu golongan para aulia Allah. Ada pula yang
melihat Allah swt melalui perbuatan-perbuatannya iaitu golongan orang-orang
Arif yang telah yakin dalam ilmunya. Selain dari kedua-dua golongan ini, maka
tidak lain hanya orang-orang yang lalai kerana wujudnya hijab pada diri
mereka.
Sesungguhnya wujudnya cahaya itu membolehkan mata kasar melihat dan
nampak dan Allah swt itu membolehkan mata bathin manusia melihat dan
nampak kerana Allah itu ada bersama segala sesuatu setiap ketika dan Dialah
yang menampakkan segala-galanya. Melihat Allah swt di sini bukan dalam
pengertian berbentuk dan Allah swt itu tidak menyerupai dengan sesuatu. Ini
dijelaskan dalam firmanNya :
“Tidak ada sesuatu yang serupa denganNya dan Dialah yang Maha Mendengar
Lagi Melihat”14
BAHAGIAN KEDUA
PENJELASAN TENTANG PERUMPAMAAN MISYKAT, LAMPU, KACA,
POKOK, MINYAK DAN API PADA AYAT NUR
Dalam penjelasan mengenai perkara ini, harus diketahui dua perkara iaitu :
1. Penerangan tentang rahsia perumpamaan-perumpamaan pada ayat
tersebut dan kaitan ruh dengan perumpamaan tersebut.
2. Peringkat-peringkat ruh.
Rahsia di sebalik perumpamaan
Alam ini terbahagi kepada dua :
1. Alam Ruhani 2. Alam Jasmani
Boleh juga digelar :
1. Alam Kebendaan 2. Alam Aqal
Atau
1. Alam Tinggi 2. Alam Rendah
Alam Ruhani (Alam Tinggi) itu tidak kelihatan oleh kebanyakan orang.
Sebaliknya, Alam Jasmani (Alam Rendah) itu kelihatan oleh semua orang,
kerana ia adalah alam pancaindera atau alam nyata.
Perjalanan menuju ke Alam Ruhani itu akan terhalang jika tidak ada
perhubungan antara kedua alam ini. Jika perjalanan ke alam tersebut itu dapat
dilalui, maka tidak mungkin kita sampai ke Hadirat Ilahi Rabbi.
Alam nyata (Jasmani) ini adalah tempat bertolaknya ke Alam Ruhani (Tinggi).
Firman Allah swt :
“Maka apakah orang yang berjalan tersungkur di atas
mukanya itu lebih banyak mendapat petunjuk ataukah
orang yang berjalan tegap di atas jalan yang lurus?”15
Yang dimaksudkan perjalanan yang lurus pada ayat ini adalah menuju Alam
Ruhani. Ini boleh juga dikatakan keimanan atau tempat mendapat bimbingan
yang sebenarnya. Jika tiada perhubungan antara kedua-dua alam, maka
tidaklah mungkin seseorang itu naik ke alam yang lebih tinggi. Allah swt
memberikan rahmatNya kepada Alam Jasmani seperti juga diberiNya kepada
Alam Rohani.
Dari itu, tidak ada suatu pun di Alam Jasmani ini yang tidak menjadi simbol
atau perumpamaan kepada perkara-perkara di Alam Ruhani.
Sekiranya alam Ruhani mempunyai cahaya yang digelar Malaikat, dan cahaya
itu pula dipancarkan kepada ruh-ruh, maka oleh kerana itu malaikat-malaikat
itu boleh digelarkan tuan, dan tuan bagi segala tuan-tuan itu ialah Allah swt.
Tuan-tuan ini mempunyai peringkat-peringkat sinaran yang berbeza-beza. Maka
simbol semua itu di Alam Jasmani ialah matahari, bulan dan bintang.
Perhatikan kisah Nabi Ibrahim yang sedang perjalanan menuju Allah swt, naik
ke satu peringkat seumpama sebuah bintang. Sinaran cahaya bintang itu
nampak kepadanya. Maka disedarilah bahawa dunia di bawah sana
mengagungkan pengaruh dan sinaran cahaya bintang itu dan seterusnya………
Firman Allah swt menceritakan kisah ini :
“Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar
Adakah kamu menjadi berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan?
Sesungguhnya aku melihat kamu dan kaummu dalam kesesatan
yang nyata. Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim
tanda-tanda keagungan Kami yang terdapat di langit dan bumi,
dan Kami memperlihatkannya agar Ibrahim itu termasuk orangorang
yang yakin. Ketika malam telah menjadi gelap, dia melihat
sebuah bintang lalu berkata “Inilah Tuhanku”. Tetapi tatkala
bintang itu tenggelam, dia berkata “Saya tidak suka kepada yang
tenggelam”. Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata
: “Inilah Tuhanku”. Tetapi bulan itu terbenam, dia berkata :
“Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku,
pastilah aku tergolong dari orang-orang yang sesat”. Kemudian
tatkala dia melihat matahari terbit, dia berkata : “Inilah Tuhanku,
ini yang lebih besar”. Maka tatkala matahari itu terbenam, dia
berkata : “Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa
yang kamu persekutukan. Sesungguhnya aku menghadapkan
diriku kepada Yang menciptakan langit dan bumi dengan
cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah tergolong
dari orang-orang yang mempersekutukan Tuhan”.16
Kalimat “Yang” dalam ayat ini dimaksudkan ialah Allah swt. Ini disebabkan
tidak ada perbandingan dan tidak ada persamaan Ini menunjukkan Allah itu
Maha Agung dan tidak termasuk dalam bidang perbandingan dan persamaan.
PENJELASAN MENGENAI MARTABAT RUH MANUSIA
Pertama : Ruh Hissi (Pancaindera)
Ruh Hissi menerima maklumat yang dibawa oleh pancaindera yang lima iaitu
rasa, bau, dengar, lihat dan sentuh. Ini merupakan asal ruh yang dinamakan
Ar-Ruh Al-Hayawani (yakni sesuatu yang mempunyai hayat). Ruh ini juga
wujud pada bayi yang masih kecil.
Kedua : Ruh Khayali
Ruh ini merakamkan segala yang dibawa oleh pancaindera. Maklumat ini
disimpan dan disediakan untuk dipersembahkan kepada jiwa atau Ruh Akal di
peringkat yang tinggi apabila maklumat itu dikehendaki.
Ruh ini tidak wujud pada seorang bayi. Inilah sebabnya apabila seseorang bayi
itu hendak memegang sesuatu yang dilihatnya, ia akan lupa pada benda itu
apabila ianya hilang daripada pandangannya. Tidak akan timbul kehendak
dalam jiwa atau ruhnya kepada sesuatu yang tidak dilihatnya sehinggalah ia
meningkat umur dewasa. Maka di kala itu, ia mula menangis kerana
menghendaki sesuatu benda yang tersimpan dalam khayalannya. Inilah yang
dinamakan Ruh Khayali.
Ketiga : Ruh Akal
Ruh atau jiwa ini mengetahui perkara-perkara yang di luar sempadan
pancaindera dan khayalan. Kebolehan ini hanya khusus wujud pada manusia
dan tidak ada pada binatang dan anak-anak. Perkara-perkara yang diketahui
oleh ruh ini adalah kebenaran yang digunakan dengan menyeluruh.
Keempat : Ruh Yang Memikir dan
Membuat Kesimpulan
Ruh atau jiwa ini mengambil butir-butir yang dibicarakan oleh akal atau
pendapat dan mengumpul dan menyusunkannya sebagai pokok pemikiran dan
dari situlah diambilnya sesuatu maklumat. Kemudian diambil pula antara dua
kesimpulan dan disertakan lagi dan diambil kesimpulan yang baru dan
begitulah seterusnya tanpa had batasan.
Kelima : Ruh Kenabian Yang Suci
Ruh ini wujud pada para nabi dan aulia Allah. Dengan ruh ini, perkara-perkara
di alam ghaib atau alam ruhani dapat mereka lihat bersama dengan beberapa
pengetahuan langit dan bumi serta ilmu ketuhanan yang tidak dapat dicapai
oleh Ruh Akal dan jiwa yang membuat kesimpulan. Inilah yang dimaksudkan
oleh firman Allah swt :
“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu Ruh (Al-Quran)
dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui
apakah Al-Kitab dan tidak pula mengetahui apakah iman itu,
tetapi Kami menjadikan Al-Quran itu cahaya, yang Kami
tunjukkan dengannya siapa yang Kami kehendaki di antara
hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya kamu benar-benar
memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.”17
Kesimpulan
Maka, dari itu, ketahuilah bahawa tiada peringkat atau martabat yang lebih
tinggi dari peringkat akal yang dapat melihat apa yang terlihat di dalam bidang
akal. Sebagaimana juga akal itu lebih tinggi dari pancaindera yang lain dan ianya
dapat melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera.
KEGUNAAN AYAT NUR DAN HADIS HIJAB
Penerangan Tentang Perumpamaan Ayat Nur
Maksud dan pengertian perumpamaan atau simbolik disebalik ayat yang
terdapat pada Surah An-Nur ayat 35.. Penerangannya akan meliputi :
Pasangan antara lima peringkat ruh dan
Lima perumpamaan iaitu Misykat (lubang) , Zujajah (kaca) , Misbah
(lampu), Syajarah (pokok) dan Zaitun (minyak).
1 Ruh Hissi
Cahayanya datang melalui bebrapa saluran iaitu mata, telinga, hidung dan lainlain.
Simbol yang paling wajar untuk ini ialah “MISYKAT”(Lubang)
2 Ruh Khayali
Ia mempunyai 3 sifat.
1. Ianya adalah daripada perkara yang terdiri daripada alam rendah yang
kasar ini, kerana sifat-sifatnya mempunyai saiz, bentuk, ukuran yang
tertentu dan terhad. Selanjutnya salah satu sifatnya ialah ia tidak
bercahaya oleh sinaran kepada cahaya akal. Akal akan melampaui arah,
bilangan dan jarak.
2. Jika sesuatu itu terang, jelas dan terkawal, maka ia akan mencapai
persamaan dengan pendapat akal dan akan tertembus oleh cahaya
daripada mereka itu.
3. Khayalan ini pada mulanya sangatlah perlu agar dapat dikawal oleh
pengetahuan akal dan dengan ini pengetahuan tersebut tidaklah
terganggu, terumbang-ambing dan lari dari kawalan.
Banyangan yang dibekalkan oleh khayalan itu menguasai pengetahun yang
dibekal oleh akal. Dalam dunia harian yang nyata ini, kita akan dapati bahawa
benda atau objek yang mempunyai ketiga-tiga sifat ini jika dihubungkan dengan
cahaya biasa ialah “KACA” (Zujajah). Ini disebabkan kaca pada mulanya itu
kotor, tetapi setelah dibersih dan dihalusi hingga menjadi bersinar (tembus oleh
cahaya) maka ia akan tembus kepada cahaya lampu. Kaca ini pula melindungi
lampu itu daripada padam oleh hembusan angin atau goncangan yang kuat.
Maka kaca inilah simbolik yang paling sesuai bagi khayalan.
3 Ruh Aqli
Ini memberi kita kefahaman tentang perkara-perkara ketuhanan. Tentang
perumpamaan ini, telah jelas kepada kita bahawa para nabi itu adalah Misbah
(Lampu yang memberi cahaya).
4 Ruh yang Memikir dan Membuat Kesimpulan
Keadaannya bermula dengan satu pendapat, kemudian bercabang dua, setelah
itu bercabang empat, dan begitulah seterusnya hingga dengan proses
pemecahan secara logik ini, ia menjadi beratus-ratus dan beribu-ribu
banyaknya. Akhirnya membawa kepada satu kesimpulan dan kesimpulankesimpulan
ini pula mengeluarkan lagi banyak kesimpulan, dan begitulah
seterusnya. Oleh yang demikian, ruh ini disimbolkan sebagai
"POKOK" (Syajarah) kerana keadaan ini seumpama pokok di alam nyata ini.
Selanjutnya kita perhatikan bahawa hasil atau buah (jiwa) jenis ini
mengeluarkan banyak ilmu dan menetapkannya. Maka sewajarnyalah ia tidak
disimbolkan dengan pokok epal atau delima atau lain-lain pokok kecuali pokok
zaiton.
Buah zaiton itu ada mengeluarkan minyak yang digunakan untuk minyak
lampu dan minyak ini berbeza dengan lain-lain minyak. Minyak zaiton ini
menambah sinaran lampu. Jika diberi kata sifat adjektif "berkat" kepada pokok
tersebut, maka sudah tentu hasil yang didapati dari pokok itu diberi kata sifat
adjektif berkat juga. Akhirnya jika cabang-cabang atau pendapat akal bersih itu
tidak tertakluk kepada arah dan jarak, maka wajarlah digelar simbol pokok ini
sebagai "tidak timur dan tidak barat". (La Syarqiyyatun Wa La Gharbiyyah)
5 Ruh Kenabian Yang Suci
Ruh atau jiwa yang terang benderang ini ada pada nabi dan wali Allah. Jiwa
fikiran manusia terbahagi kepada dua jenis.
Satu daripadanya perlu dan wajar dinasihati dan dibekali dari luar untuk
mendapat ilmu terus menerus.
Yang satu lagi tidak perlu bekalan ilmu dari luar; cukup dari dalam,
seolah-olah bercahaya dengan sendiri.
Kebolehan tabie yang kuat dan terang ini dikatakan sebagai "minyak itu
bernyala-nyala walaupun ia belum disentuh oleh api". (Ya kaadu zaituha
yudhi- u walau lam tamsashu naar)
Ada wali Allah yang mempunyai cahaya yang sangat terang hingga
"hampir" tidak memerlukan lagi apa yang dibekalkan oleh para nabi.
Ada pula yang mempunyai cahaya yang "hampir-hampir" tidak
memerlukan lagi apa yang dibekali oleh para malaikat.
Inilah perumpamaan yang sewajarnya bagi perkara ini.
Cahaya ruh manusia itu berperingkat-peringkat.
Maka peringkat pancaindera itu adalah peringkat awal dan persediaan
untuk khayalan (kerana khayalan boleh dianggap sebagai mengikuti
pancaindera).
Selepas itu diikuti pula oleh akal.
Kemudian dituruti pula oleh jiwa yang memikir dan membuat
kesimpulan.
Semua itu menerangkan;
Kenapa kaca itu dikatakan tempat letak lampu;
Dan misykat itu tempat letak kaca.
Ini bererti lampu itu di dalam kaca dan kaca itu dalam misykat (lubang).
Akhirnya, sebagaimana yang kita lihat adanya cahaya yang berperingkatperingkat
itu mentafsirkan kepada kita ayat yang bermaksud "Cahaya
Atas Cahaya" itu. (Nur ‘ala Nur)
KESIMPULAN AYAT BERKENAAN GELAP
Perumpamaan atas simbolik cahaya hanya untuk hati atau jiwa orang-orang
yang beriman, atau Nabi-nabi dan wali-wali Allah sahaja. Bukan untuk hati
orang-orang ingkar kerana istilah "Cahaya" ini khusus untuk orang-orang yang
dipimpin di jalan yang lurus.
Sebaliknya, bagi orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar dan
lurus, maka ia adalah palsu dan gelap. Bahkan lebih gelap daripada yang gelap.
Kegelapan itu tidak membimbing seseorang itu ke mana-mana. Fikiran orangorang
INGKAR itu dan seluruh pandangan mereka adalah sesat dan
menyeleweng dan fikiran mereka itu saling sokong menyokong antara satu
dengan lain untuk menipu dan menyesatkan tuan yang empunya. Mereka itu
ibarat orang yang berada
“Di laut yang sangat dalam yang berombak dan dilapisi
lagi dengan ombak. Di atasnya awan gelap; gelap di atas
gelap".18
"Laut yang sangat dalam" (Bahrun Lujjiyun) itu bermaksud dunia-dunia ini
yang penuh dengan mara bahaya, kejahatan, dosa dan noda.
"Ombak" (Mauj) yang pertama itu ialah ombak hawa nafsu yang dirinya jiwa
itu mendapat sifat-sifat kebinatangan, dan dikuasai oleh keseronokan hawa
nafsu, dan memuaskan cita-cita keduniaan sahaja; lalu
"Mereka makan dan berpoya-poya seperti lembu kerbau.
Nerakalah tempat kediaman mereka". 19
Ombak itu diibaratkan sebagai kegelapan. Oleh itu cinta kepada makhluk
menjadikan jiwa itu buta dan pekak.
"Ombak" (Mauj) yang dilapisan kedua itu bermaksud sifat-sifat ganas yang
mendorong jiwa itu bersikap
Marah,
Hasad dengki,
Benci,
Menentang diri sendiri,
Sombong,
Megah dan
Bangga.
Maka, tepatlah simbolik gelap ini kerana marah itu adalah iblis akal manusia.
Dan sesuai juga simbolik ombak yang di atas itu kerana marah itu kebanyakan
lebih kuat daripada nafsu syahwat; marah yang mendidih menyelewengkan
jiwa dari nafsu angkara dan membuatnya lalai dengan keseronokan. Hawa
nafsu tidak dapat menentang marah yang bersangatan.
"Awan gelap" (Sahaabun Zulumaatun) itu adalah kepercayaan yang bukanbukan,
bid’ah yang menyesatkan dan pemikiran yang rosak yang menjadi
lapisan-lapisan hijab yang mendinding orang-orang kafir daripada mendapat
iman, ilmu yang hakiki dan sinaran dari cahaya Al-Quran dan akal yang bersih.
Telah menjadi lumrah, awan itu melindungi sinaran cahaya matahari. Oleh
kerana semua perkara tersebut adalah menggelapkan, maka sesuai benarlah
ayat ini "Gelap di atas gelap" (Zulumaatun Ba’dhuha Fauqa Ba’dhin) . Ini
adalah kerana perkara-perkara tersebut menutup jiwa daripada mendapat ilmu
tentang perkara-perkara yang dekat; apatah lagi yang jauh. Ianya mendinding
orang-orang kafir daripada mengetahui apa yang dibawa oleh Nabi, meskipun
mereka sangat hampir dan boleh dipandang. Sesuai benarlah dikatakan
"Jika seseorang menghulurkan tangannya, tidaklah
kelihatan tangan itu"20
Kesimpulannya, semua cahaya-cahaya ini berpunca dan berasal dari Yang Maha
Esa, maka sewajarnyalah tiap-tiap orang yang mengakui dan beriman dengan
kalimah tauhid mempercayai bahawa,
"Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak berikan
cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya".21
BAHAGIAN KETIGA
PENERANGAN TENTANG PERUMPAMAAN HADIS 70,000 HIJAB
"Allah mempunyai tujuh puluh ribu hijab (tabir) cahaya dan
gelap. Sekiranya Ia membuka hijab itu, maka keagunganNya pasti
akan menghancurkan sesiapa yang mengenalinya dengan
pandangan".22
Sesungguhnya Allah itu tidak tidur dan tidak sepatutnya Ia
tidur. Dialah yang meringan dan memberatkan timbangan.
Dia mengangkatkan kepadaNya amalan pada waktu
malam sebelum amalan siang, dan amalan pada waktu
siang sebelum malam. HijabNya itu cahaya dan sekiranya
Ia membuka hijab itu, maka keagunganNya pasti akan
menghancurkan sesiapa yang mengenaliNya dengan
pandangan daripada sekelian ciptaanNya.23
Ada tiga jenis hijab yang ada pada manusia iaitu :
1. Gelap keseluruhannya
2. Campuran gelap dengan cahaya
3. Cahaya keseluruhannya
1 Gelap Keseluruhannya
Bahagian pertama ialah mereka yang terhijab atau terdinding oleh gelap yang
sebenarnya. Mereka ini ialah orang yang tidak percaya dengan Allah dan hari
kemudian. Inilah orang "yang kasih kepada kehidupan dunia ini lebih daripada
kehidupan akhirat" kerana mereka tidak percaya dengan apa yang akan datang
kemudian.
Mereka ini pula terbahagi kepada beberapa pecahan.
1 Mereka yang hendak mencari sebab terhadap kehidupan di dunia ini dan
mereka jadikan alam nyata ini sebagai sebab. Tetapi alam nyata ini ialah satu
sifat yang ada pada benda-benda. Ianya pula adalah gelap kerana ia;
Tidak ada ilmu pengetahuan,
Tidak ada pandangan,
Tidak ada kesedaran terhadap diri sendiri,
Tidak ada kesedaran terhadap yang lain,
Tidak ada cahaya pandangan melalui perantaraan mata.
2 Mereka yang dipengaruhi oleh kepentingan diri sendiri dan tidak mahu
mengetahui tujuan hidup ini. Mereka hidup seperti kehidupan binatang. Hijab
ini ialah diri mereka sendiri (self-centered ego) dan hawa nafsu gelap mereka
itu. Tidak ada gelap yang lebih gelap daripada penghambaan kepada dorongan
diri sendiri dan cinta diri sendiri. Firman Allah :
"Tidakkah engkau perhatikan orang yang menjadikan hawa
nafsunya sebagai tuhannya?" 24
Sabda Nabi Muhammmad saw :
"Mempertuhankan hawa nafsu adalah penyembahan yang
paling dibenci oleh Allah". 25
Bahagian yang kedua ini terbahagi lagi kepada beberapa pecahan iaitu :
1 Manusia yang menganggap dan berkeyakinan bahawa matlamat atau
tujuan akhir hidup di dunia ini ialah untuk memuaskan hawa nafsu
kebinatangan mereka sahaja, sama ada berkenaan dengan jantina, atau
makan-minum atau pun pakaian. Inilah hamba nafsu. Hawa nafsu itulah
Tuhan mereka. Mereka percaya bahawa dengan memuaskan nafsu itu,
mereka akan mendapat kebahagiaan. Inilah manusia yang merendahkan
martabat mereka lebih rendah daripada martabat binatang. Adakah sesuatu
yang lebih gelap daripada ini????. Inilah orang yang dihijab sebenarnya.
2 Manusia yang menganggap matlamat akhir hidup ini ialah menakluk dan
menguasai, seperti membunuh dan merampas. Mereka itu ialah orangorang
yang jahil. Hijab pada mereka ialah sifat-sifat ganas dan garang. Sifatsifat
ini menguasai mereka. Mereka berasa senang hati dengan sifat-sifat
mereka itu. Inilah orang-orang yang bersifat binatang. Mereka merendahkan
martabat kemanusian mereka itu lebih rendah lagi daripada binatang.
3 Manusia ialah yang menganggap matlamat akhir hidup ini ialah
kekayaan harta benda kerana kekayaan ini adalah alat untuk memuaskan
tiap-tiap nafsu syahwat mereka. Mereka menghabiskan masa muda dan
tenaga mereka dengan memperbanyakkan dan mengumpul harta kekayaan
,wang ringgit, emas dan perak, tanah dan rumah yang indah, gedunggedung
besar dan lain-lain lagi. Mereka mengumpul dan menyimpan wang
ringgit sebanyak-banyaknya. Mereka bertungkus lumus siang dan malam di
mana sahaja untuk memperbanyakkan harta dengan sepuas-puasnya. Apa
yang ada itu nampak sedikit dan mereka terus mencari lagi tanpa berhenti
dan berpuas hati. Inilah orang-orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah
saw :
"Orang malang, hamba orang!!!, orang malang, hamba
emas!!".
Adakah gelap yang lebih gelap daripada ini?" Mereka telah dibutakan oleh
emas dan perak. Mereka tidak sedar bahawa emas dan perak itu adalah jenis
logam yang tidak berguna jika semata-mata untuknya sahaja. Logam yang
tidak lebih daripada batu-batu atau logam lainnya. Emas dan perak hanya
bernilai jika ia dijadikan alat untuk mencapai tujuan-tujuan yang berfaedah
dan dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang berguna.
4 Manusia yang menganggap bahawa kebahagiaan itu ialah dengan
mencapai kemasyhuran diri, mencari "nama" dan memperluaskan pengaruh
sehingga ramai orang yang menjadi pengikutnya serta menyanjungnya.
Mereka sentiasa berlagak dan melihat bayangan dirinya dalam cermin. Ada
yang mencurahkan wang ringgitnya membeli pakaiannya yang indah-indah
sampai baik dipandang orang dan disaksikan kecantikannya itu, meskipun
ia menderita kekurangan dan dapur tidak berasap di rumahnya.
Allah swt berfirman :
“Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindung mereka
ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya
kepada kegelapan”26
2 Campuran Gelap Dengan Cahaya
Mereka ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu;
1. Terhijab Oleh Pancaindera
2. Gelapnya Berpunca Dari Khayalan
3. Gelapnya Berpunca Dari Logik Akal Yang Palsu.
1 Terhijab Oleh Pancaindera
Mereka ini ialah orang-orang yang telah melangkah sempadan
mempertuhankan diri sendiri, yang mana itu adalah sifat orang-orang yang
dalam golongan pertama yang telah tersebut dahulu kerana mereka
mempertuhankan kepada sesuatu yang di luar diri mereka, dan ada sedikit
keinginan untuk mengetahui Tuhan.
Peringkat pertama terdiri daripada mereka yang menyembah berhala.
Peringkat akhir terdiri daripada mereka yang menduakan Tuhan.
Antara kedua-kedua peringkat tersebut, ada peringkat-peringkat lain
lagi.
2 Gelapnya Berpunca Dari Khayalan
Mereka ini melangkah dari sempadan pancaindera kerana mereka sedar adanya
sesuatu di sebalik objek-objek pancaindera. Tetapi golongan ini tidak dapat
melangkah lebih dari sempadan khayalan. Oleh itu, mereka sembah sesuatu
yang benar-benar duduk di atas kursi singgahsana.
3 Gelapnya Berpunca Daripada Logik Akal Yang Palsu
Mereka ini menyembah tuhan "yang mendengar, melihat, dan berilmu,
berkuasa, berkehendak dan hidup", dan melampaui semua arah termasuk arah
ke atas. Tetapi konsep mereka tentang sifat-sifat ini diserupakan dengan sifatsifat
mereka sendiri, hingga ada mereka berpendapat bahawa perkataan
(KALAM) Tuhan itu ialah berhuruf dan berbunyi, seperti manusia juga.
Sementara yang lain pula lebih maju lagi ke depan. Kata mereka; "Sebenarnya
seperti kalam fikiran kita, iaitu tidak berbunyi dan tidak berhuruf". Oleh itu,
apabila mereka dicabar untuk menunjukkan bahawa Allah itu benar-benar
"mendengar, melihat, hidup dan lain-lain", maka penjelasan mereka seolaholah
menyifatkan tuhan itu sebagai manusia, meskipun mereka menafikannya.
Ini adalah kerana mereka tidak dapat memahami apakah sebenarnya maksud
pendapat tentang Sifat Allah itu. Mereka berkata bahawa berkenaan dengan
Iradat atau Kehendak Allah itu, adalah ianya bergantung atau berkaitan,
seperti kehendak atau iradat manusia juga, berkehendak kepada sesuatu dan
bertujuan. Semua pendapat-pendapat ini sudah terkenal dan termasyhur dan
kita tidak perlu bicara tentang perkara ini dengan panjang lebar. Mereka ini
terhijab oleh beberapa cahaya Ketuhanan dan bercampur dengan kegelapan
logik akal palsu. Semua yang tersebut itu adalah golongan bagi bahagian kedua
yang terdiri daripada hijab gelap bercampur cahaya.
Golongan yang terakhir yang disebutkan oleh Imam Ghazali di atas banyak
terdapat dalam masyarakat kita akhir-akhir ini. Walaupun mereka bertuhankan
Allah dan mengakui kerasulan Nabi, namun mereka jahil dengan pendapatpendapat
yang berkaitan sifat-sifat Ketuhanan Yang Maha suci lagi Maha
Sempurna. Biasanya golongan yang tersasar ini adalah dari golongan mereka
yang
Hanya berpandukan kepada Al-Quran dan Hadis semata-mata dengan
menolak mazhab-mazhab atau pendangan ulama-ulama yang
Muktabar,
Hanya berpandukan kepada Al-Quran semata-mata,
Menafikan Kefarduan Mempelajari Ilmu Usuluddin atau Ilmu Tauhid,
Hanya bertaklid kepada warisan keluarga semata-mata.
PEMBAHAGIAN NUR
Menurut pembahagian, nur itu terbagi kepada dua iaitu:
Nur Hissi (Zahir)
Iaitu cahaya yang kita melihat sesuatu dengan mata kepala kita seperti cahaya
sinaran matahari yang memberi kita cahaya terang diwaktu siang.
Nur Ma’nawi (Bathin)
Iaitu cahaya yang kita melihat dengan mata hati terhadap sesuatu yang ghaib
atau memahami sesuatu hakikat atau pengertian.
Nur Batin ini terbagi pula kepada 8 jenis, iaitu:
Nur Al-Iman
Cahaya keimanan iaitu cahaya sejati yang dapat menembusi segala kegelapan
dimana akan ternyata keagungan dan keesaan Allah s.w.t menyinari hati insan.
Nur Al-Qalb
Cahaya hati iaitu cahaya yang wujud dengan sempurna dengan memperoleh
sinaran cahaya daripada nur Al-Iman.
Nur Ar-Ruh
Cahaya Ruh (jiwa) iaitu cahaya yang diperoleh dengan sebab kepatuhan yang
sungguh-sungguh kepada Allah dan menyucikan peribadi dari perlakuan liar
dan adat resam yang merugikan sehingga ruhnya dapat berhubung dengan alam
malaikat.
Nur An-Nafs
Cahaya peribadi yang wujud dengan sempurna berikutan dengan memperoleh
sinaran dari pada Nur Ar-Ruh.
Nur As-Sirr
Cahaya rahsia yang diperoleh dengan mengenal Allah dengan sebenar-benar
pengenalan yang diikuti dengan hubungan kepada Maha Pencipta tanpa
selainNya sehingga dapat menyaksikan keajaiban kebesaran Ilahi di Alam
Malakut dan Alam Mulk dan Syahada.
Nur Al-Aql
Cahaya akal yang wujud dengan sempurna dengan memperoleh sinaran cahaya
daripada Nur As-Sirr.
Nur Al-Qur’an
Cahaya Qur’an yang merupakan Nur Allah s.w.t. yang berhubung rapat dengan
DzatNya Yang Maha Tinggi. Hakikat Nur ini adalah diserahkan kepada Allah.
Hanya diketahui bahwa nur inilah yang menimbulkan Nur As-Sirr dan nur yang
lain.
Nur Al-Kasyaf
Cahaya singkapan iaitu Nur Al-Qur’an yang merupakan nur yang paling tinggi
dan mamberi kesan yang istimewa. Nur ini dapat menggilapkan cermin hati
para insan dengan membaca ayat-ayat suci,dzikrullah
(takbir,tahmid,tasbih,taqdis dan lain-lain); juga dengan memakan makanan yang
halal, berlaku ikhlas, berpuasa meninggalkan sesuatu yang memesongkan,
sentiasa membersihkan diri dan peribadi dengan mengekalkan wudhu’ dan
menjaga segala waktu untuk ketaatan dan berbakti kepada Allah s.w.t.
Firman Allah swt :
Wahai manusia se,sungguhnya telah datang kepadamu bukti
kebenaran dari tuhanmu (nabi Muhammad dan mujizatnya); dan
kami telah menurunkan kepadamu satu cahaya (Al-Qur’an) yang
terang benderang.27
Menurut golongan Sufi bahwa nur ini memungkinkan mengangkat pandangan
basirah kepada ‘Arasy dan Kursi dan menyaksikan segala nur-nur yang indah
hingga terbuka segala rahsia-rahsia alam dan bermacam-macam rupa alam
ghaib.
Nur inilah yang menyelubungi peribadi Nabi Muhammad s.a.w sehingga beliau
dapat memandang atau mengetahui sesuatu dengan izin Allah. Dikala beliau
pulang dari pengembaraan Isra’ dan Mi’raj, orang-orang kafir mengerumuni
beliau bagi menguji kebenaran pelajarannya. Mereka menanyakan sifat-sifat
masjid Al-Aqsa dengan terang, tetapi pertanyaan itu dapat dijawab oleh nabi
dengan tepat sehingga segolongan manusia merasa hairan dan kagum lalu
mempercayai kebenaran Nabi s.a.w.
Nur inilah yang membukakan pandangan kepada Khalifah Umar b.Al-Khattaab
yang berada di kota Madinah dapat melihat daerah Nahawand dan melihat
panglima dan tentara-tentara Islam yang sedang berjuang menyerang tenteratentera
Parsi dibawah raja Yazdajird III dimana beliau mengeluarkan perintah
menggempur musuh dengan hebat. Suara Umar didengar pula oleh panglima
Hudzaifah Al-Yaman sehingga beliau berjaya menumpaskan mereka.
Pada suatu masa ditanyakan Rasulullah s.a.w. dengan pertanyaan: "Apakah Nur
itu?"
Beliau menjawab: "Apabila nur itu memasuki hati maka lega dan lapanglah hati
itu." Kemudian ditanyakan lagi: "Bagaimanakah tandanya?" Sabdanya: "Hati itu
tidak lupakan perkembaliannya ke Darul Khuld (negeri Akhirat) Dia tidaklah
bermasyghul (berleka-leka) dengan keduniaan kerana dunia ini adalah tempat
perayaan (dan Percubaan).Hati itu selalu mengingati kematian sebelum tibanya
kematian itu."
Abdullah b. Mas’ud pernah berkata:
Ilmu itu diperoleh bukanlah kerana semata-mata banyak riwayat
(sumber biasa), tetapi dia hanya diperoleh dengan nur yang
dicampakkan Allah ke dalam hati seseorang.
MAKRIFATULLAH
Allah berfirman tentang ibadat:
“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk
mengabdikan diri kepadaKu”.28
Dalam lain perkataan, ‘mereka diciptakan supaya mengenali Daku’. Jika
seseorang tidak mengenaliNya bagaimana dia boleh memujiNya dengan
sebenar-benarnya, meminta pertolonganNya dan berkhidmat kepadaNya?
Makrifat yang diperlukan bagi mengenaliNya boleh dicapai dengan menyingkap
tabir hitam yang menutupi cermin hati seseorang, menyucikannya sehingga
bersih dan menggilapkannya sehingga bercahaya. Kemudian perbendaharaan
keindahan yang tersembunyi akan memancar pada rahsia cermin hati.
Allah Yang Maha Tinggi telah berfirman melalui rasulNya:
“Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku ingin
dikenali, lalu Aku ciptakan makhluk supaya Aku dikenali”. 29
Tujuan suci diciptakan manusia ialah supaya mereka mengenali Allah,
memperolehi makrifat.
Ada dua peringkat makrifat yang suci. Seseorang itu perlu mengenali sifat-sifat
Allah dan dalil-dalil yang menjadi kenyataan atau penzahiran bagi sifat-sifat
tersebut. Satu lagi ialah mengenali Zat Allah. Di dalam mengenali sifat-sifat
Allah manusia secara zahirnya dapat menikmati kedua-duanya iaitu dunia dan
akhirat. Makrifat yang memimpin kepada Zat Allah tidak diperolehi dengan diri
zahir manusia. Ia terjadi di dalam jiwa atau ruh suci manusia yang berada di
dalam dirinya yang zahir ini.
“Dan Kami telah perkuatkan dia (Isa) dengan ruh kudus”.30
Orang yang mengenali Zat Allah menemui kuasa ini melalui ruh kudus (suci)
yang dikurniakan kepada mereka.
Kedua-dua makrifat tersebut diperolehi dengan hikmah kebijaksanaan yang
mempunyai dua aspek; hikmah kebijaksanaan kerohanian yang di dalam dan
pengetahuan zahir tentang benda-benda nyata. Kedua-duanya diperlukan untuk
mendapatkaan kebaikan. Nabi s.a.w bersabda, “Pengetahuan ada dua bahagian.
Satu pada lidah yang menjadi dalil tentang kewujudan Allah, satu lagi di dalam
hati manusia. Inilah yang diperlukan bagi melaksanakan harapan kita”.
Allah berfirman:
“Barangsiapa berharap menemui Tuhannya, hendaklah dia
mengerjakan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan
sesuatu dengan Allah dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.31
Apa yang dihuraikan sebagai daerah makrifat itu adalah tahap penghabisan bagi
daerah kejadian yang pertama. Ia adalah permulaan dan merupakan rumah
yang setiap orang kembali ke sana. Di samalah ruh suci dijadikan. Apa yang
dimaksudkan dengan ruh suci adalah ruh insan. Ia dijadikan dalam bentuk yang
paling baik.
Kebenaran atau hakikat tersebut telah ditanam di tengah-tengah hati sebagai
amanah Allah, diamanahkan kepada manusia agar disimpan dengan selamat. Ia
bangkit dan menyata melalui taubat yang sungguh-sungguh dan usaha sebenar
mempelajari agama. Keindahannya akan memancar ke permukaan apabila
seseorang itu mengingati Allah terus menerus, mengulangi kalimah “La Ilaha
Illallah”. Pada mulanya kalimah ini diucapkan dengan lidah. Bila hati sudah
hidup ia diucapkan di dalam, dengan hati.
PERTEMUAN DENGAN ALLAH SWT DI AKHIRAT
Melihat Allah ada dua jenis: Pertama melihat sifat keindahan Allah yang
sempurna secara langsung di akhirat’ dan satu lagi melihat sifat-sifat ketuhanan
yang dipancarkan ke atas cermin yang jernih kepunyaan hati yang tulen di
dalam kehidupan ini. Dalam hal tersebut penyaksian kelihatan sebagai
penzahiran cahaya keluar daripada keindahan Allah yang sempurna dan dilihat
oleh mata hati yang hakiki.
“Hati tidak menafikan apa yang dia lihat”.32
Mengenai melihat kenyataan Allah melalui perantaraan, Nabi s.a.w bersabda,
“Yang beriman adalah cermin kepada yang beriman”. Yang beriman yang pertama,
cermin dalam ayat ini, adalah hati yang beriman yang suci murni, sementara
yang beriman kedua adalah Yang Melihat bayanganNya di dalam cermin itu,
Allah Yang Maha Tinggi. Sesiapa yang sampai kepada makam melihat
kenyataan sifat Allah di dalam dunia ini akan melihat Zat Allah di akhirat, tanpa
rupa tanpa bentuk.
Kenyataan ini disahkan oleh Saidina Umar r.a dengan katanya,
“Hatiku melihat Tuhanku dengan cahaya Tuhanku”.
Saidina Ali r.a berkata,
“Aku tidak menyembah Allah kecuali aku melihatNya”.
Mereka berdua tentu telah melihat sifat-sifat Allah dalam kenyataan. Jika
seseorang melihat cahaya matahari masuk melalui jendela dan dia berkata, “Aku
melihat matahari”, dia bercakap benar.
Allah swt boleh dikenali di dalam dunia ini melalui sifat-sifatNya. Tetapi untuk
melihat dan mengenali ZatNya sendiri hanyalah boleh terjadi di akhirat. Di sana
melihat Allah adalah secara langsung sebagaimana yang Dia kehendaki dan
yang melihatnya adalah mata bagi hati.
“Beberapa muka pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannya
mereka melihat”.33
Nabi s.a.w bersabda :
“Aku melihat Tuhanku di dalam rupa jejaka tampan”34
Mungkin ini adalah bayangan bagi hati. Bayangan adalah cermin. Ia menjadi alat
untuk menzahirkan yang ghaib. Hakikat Allah Yang Maha Tinggi tidak
menyerupai sesuatu samada bayangan atau bentuk. Bayangan adalah cermin,
walaupun yang kelihatan bukanlah cermin dan bukan juga orang yang melihat
ke dalam cermin. Fikirkan tentang itu dan cubalah memahaminya kerana ia
adalah hakikat kepada alam rahsia-rahsia.
Tetapi semuanya berlaku pada makam sifat. Pada makam Zat semua kenyataan
hilang, lenyap. Orang yang di dalam makam Zat itu sendiri lenyap tetapi mereka
merasai zat itu dan tiada yang lain.
DOA NUR
Pertama
Rasulullah saw apabila bangun dari tidurnya, maka ia berdoa dengan membaca :
Ya Allah, segala puji bagiMu. Engkaulah cahaya bagi sekelian langit dan bumi
dan segala yang berada di dalamnya. Segala puji bagiMu Engkaulah yang
menerangi langit dan bumi dan segala yang berada di dalamnya. Segala puji
bagiMu engkaulah yang berkuasa bagi langit dan bumi dan segala yang berada
di dalamnya. BagiMu segala puji tiada Tuhan melainkan Engkau. JanjiMu itu
benar, pertemuan denganMu itu benar, syurga itu benar, para nabi utusanMu itu
benar dan Nabi Muhammad saw itu benar.
Kedua
Ya Allah, Engkaulah cahaya. Engkau telah menerangi langit dan bumi dengan
cahaya petunjukMu dengan ghaib pada zat mereka atas ketauhidan kepadaMu
dan pengenalan padaMu. Maka Engkaulah cahaya yang nyata, Yang memberi
petunjuk, Yang Gagah lagi Perkasa. CahayaMu tiada yang dapat menyerupai
pada sekelian alam. Zat kewujudanMu itu tetap dan tiada sesuatu yang dapat
menyerupai dan bersekutu denganMu.
Ketiga
Ya Allah, terangilah diriku dengan cahaya sifatMu yang terang benderang, dan
dengan zatMu yang suci dari segala penyucian, yang terpelihara, yang bebas
dari segala penyerupaan, dan keluasan ilmuMu yang maha meliputi segala
sesuatu dan kewujudan. Zahirkanlah pada hatiku dari cahayaMu yang
melenyapkan dengannya segala mata kegelapan alam ini dan cahaya yang
melenyapkan dariku hijab-hijab kemanusiaan, dan menghilangkan dariku segala
kehendak-kehendak kemanusiaan untuk mefana’kan diriku pada diriMu dan
bagi mendapatkan cahaya petunjukMu. Sesungguhnya Engkaulah Allah Tuhan
yang Bercahaya, terangilah diriku dengan cahayaMu wahai Cahaya.
Keempat
Ya Allah, terangilah daku dengan cahayaMu. Ya Allah, wujudkanlah cahaya
pada hatiku, pada anggotaku, pada darahku, pada tulangku, pada rambutku,
pada jasadku, dan cahaya pada kananku, cahaya pada kiriku, cahaya dari
bawahku, cahaya dari atasku yang meliputi diriku wahai Cahaya dari sekelian
cahaya.