Anak2 lambat bersiap petang tu. Hasrat untuk dapat sampai awal di Masjid Tasik Puteri untuk sesi Kuliah Maghrib bersama Ustaz Azhar kurang kesampaian. Sampai2 orang dah iqamat Solat Maghrib. Kena pulak naik anak2 tangga yang tinggi melalui laluan belakang untuk sampai ke masjid yang terletak agak tinggi. Berpusu-pusu kami bersama orang ramai yang kelewatan untuk berkejar dapatkan rakaat pertama sebelum imam rukuk.
Alhamdulillah dengan izin Allah dapat duduk tempat yang strategik, betul2 depan ustaz tapi kami di tingkat atas. Ustaz yang berjubah puteh seperti biasa sampaikan kuliah dengan gaya santai tapi alhamdulillah ilmu sampai. Dari mula sampai akhir berjaya fokus dan dapat ambik sedikit sebanyak pengisian yang disampaikan ustaz.. alhamdulillah.
Ingin berkongsi sedikit pemahaman ilmu yang dapat malam tu. Ustaz jelaskan tentang hakikat kita dalam mengenal Allah...
- Bila kenal Allah InsyaAllah akan datang rasa cinta pada Allah. Bila kenal Allah akan datang rasa takut pada Allah.
- Allah mempunyai banyak sifat. Sifatnya banyak tapi tuhannya hanya satu iaitu Allah. Ramai antara kita yang mengaku Islam tapi malangnya tak kenal Allah. Siapa yang tahu Allah sangat berkuasa, maka dia akan dapat nampak dirinya yang lemah. 24 jam kita bernafas, sentiasa ingat diri kita lemah. Jangan kita merasa kita yang molek, yang hebat kerana yang molek dan yang hebat itu hanyalah Allah. Allah pencipta sedangkan kita barang yang dicipta. Semua sifat Allah sempurna. Bila ingat Allah yang sempurna, sedar diri kita yang tak sempurna. Bila ingat Allah hebat, Allah gagah, ingat diri kita yang banyak kekurangan, yang tak elok yang tak molek. Contoh: Allah Maha Mendengar. Kita pun dengar tapi hakikat kita mendengar lain. Kita tak dapat mendengar sebagaimana yang Allah dengar.
- Manusia dan haiwan termasuk dalam apa yang Allah ciptakan. Beza manusia dengan haiwan hanyalah akal sahaja. Maksudnya kita lebih dari segi akal sahaja dari haiwan. Jangan kita rasa diri begitu hebat. Kalau terpotong satu wayar dalam badan kita, dah kita cedera, dah jadi kurang... Kita boleh bercakap atas ehsan Allah. Tiada daya dan upaya kita melainkan semua dari Allah. Semua hak milik Allah dan apa yang ada pada kita hanyalah pinjaman semata-mata. Mata pinjam hak Allah, telinga pinjam hak Allah tapi hairannya tetap tak mahu ikut undang-undang Allah. Allah bagi banyak perkara tapi masih juga lawan Allah, lawan tentera Allah.
- Dalam hidup ini, hendaklah kita fokus tentang apa yang Allah suruh kita buat, fokus tentang apa yang Allah larang buat. Jangan lari dari tumpuan. Jangan sibuk tanya lebih-lebih contoh bersungguh2 nak siasat Dajal akan keluar tahun mana, keluarnya nanti dekat mana, sibuk nak siasat tentang Imam Mahdi, tentang Nabi Isa yang disebut akan turun dan sebagainya. Hanya wajib tahu sekadarnya sahaja, tak payah sibuk nak tanya lebih2 kerana itu semua dalam rahsia Allah. Kita sebagai hamba-Nya hanya wajib percaya dan yakin.
- Fokus ikut apa yang al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW suruh. Sabda Rasulullah SAW "Aku tinggalkan kepada umatku dua perkara. Jika mereka berpegang teguh kepadanya maka mereka tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al-Quran dan As-Sunnah" Manafaatkan hidup kita dengan banyak membaca al-quran contohnya. Jika dapat mengajarkan pula pada orang lain, itu makin baik lagi. Apa yang wajib kita tumpukan adalah ilmu fardhu ain, bab feqah, tauhid dan tasawuf. Tak wajib untuk kita mendalami bab2 yang melangkaui bidang pemikiran kita.
- Allah Maha Pemurah. Banyak mana pun kita mintak, Allah sentiasa bagi cepat atau lambat. Allah bagi belaka(pada semua makhluknya). Walau orang tu bukan ahli ibadah, walau orang tu bukan Islam, Allah tetap bagi. Menunjukkan betapa pemurahnya Allah. Manusia pun pemurah juga tapi pemurah hanya mengikut keadaan dan suasana. Bukan pemurah sebagaimana Allah. Sebanyak mana pun kita mintak Allah tetap bagi namun tidak menjejaskan sedikitpun kekayaan Allah yang terbentang luas. Al-Ghoni, Allah Maha Kaya.
- Kita dulu lahir tanpa memakai pakaian, itu yang dinamakan miskin yang sebenarnya. Nanti kita mati, akan kembali sepertimana keadaan semasa lahir. Tiada pakaian dan tak bawak apa2 pun kekayaan yang ada semasa di dunia. Jadi walaupun rasa kaya sekarang, jangan lupa hakikat kita akan kembali menjadi fakir miskin di akhir usia kita.
- Gunalah apa yang Allah bagi untuk perkara kebajikan. Contoh: Guna otak untuk fikir tentang kebesaran Allah, guna telinga untuk dengar hadis Rasulullah SAW, guna mata untuk tengok keindahan langit. Jangan sampai kita jadi macam binatang ternak. Bersyukurlah kita belum jadi ayam itik lagi sebab telinga, mata dan otak masih dapat melihat kebesaran Allah.. aminn
- Kita sebenarnya dah buat perjanjian dengan Allah semasa di alam ruh.Kita tak ingat sebab fikiran kita hanya mudah ingat perkara yang paling akhir kita buat. Kita mengaku di hadapan Allah bahawa Allahlah Tuhan sekalian alam. Nabi SAW kemudiannya di-utus untuk mengingatkan kita untuk terus patuh pada Allah. Semua ini tertulis dalam al-quran yang menghimpun sejarah yang hebat.
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”. (QS Al-A'raf 172)
- Maka, tolonglah agama Allah. Jangan sekadar tahu mengangguk-ngangguk bila diperingatkan bila pegi kuliah. Bagilah derma, bantu di jalan Allah. Contoh: bantu anak2 tahfiz, bantu orang-orang yang sedang keluar di jalan Allah dan sebagainya. Yakin dengan janji Rasulullah SAW bahawa tidak akan jadi kurang harta kita jika disalurkan melalui sedekah. Berbeza dengan orang yang sayang harta, dia malah akan jauh dari Allah dan dekat pula dengan api neraka...nauzubillah.
- Jangan rasa diri begitu hebat. Jangan kerana dek begitu sibuk mencari harta hingga jadi tak sedar diri, lawan agama, lawan Islam. Jika diri disibukkan dengan urusan dunia, maka samalah kita dengan kambing yang keluar pagi.. petang masuk kandang. Maka takde ilmu, tak fikir masalah agama sebab tak ingat langsung nak datang mengaji, takde teringat nak pegi kuliah. Masa sihat duk berkaraoke, masa ada kematian panggil tok imam untuk tolong bacakan talkin.
- Maka belajarlah... ilmu mesti dituntut untuk dapat lebih kenal Allah. Jangan rasa hebat dengan pakaian, kupiah, serban dan kitab yang banyak tapi ilmu tak ada. Sentiasa ingat diri hamba yang lemah. Ilmu dan taqwa bukan boleh dibeli. Jadilah orang yang beramal dengan ilmunya. Jadi hamba yang bertaqwa.
Wallahu'alam.