Muqaddimah
Al-Qur'an menjelaskan hakikat ini yang mafhumnya:
Setiap manusia mempunyai kepercayaannya masing-masing. Kepercayaan- kepercayaan itu pula mempunyai sumber-sumbemya. Manusia menyandarkan kepercayaannya kepada sumber-sumber tersebut. Sumber-sumber tersebut menjadi rujukan dalam manusia menetapkan jalan kehidupan mereka. Daripada kepercayaan ini yang berlandaskan kepada sesuatu sumber tertentu, maka terbitlah sikap dan tindakan-tindakan manusia dalam kehidupan ini.
Bagi kaum muslimin kepercayaan mereka ialah 'aqidah Islam dan sumbernya bersifat rabbani. Sistem kepercayaan yang berdasarkan kepada sumber rabbani yang sahih inilah yang membezakan di antara Islam dengan sistem-sistem keagamaan dan ideologi-ideologi yang ada di dunia. Pegangan dan sumber ini jugalah yang membezakan di antara orang-orang yang beriman dengan golongan-golongan kafir. Malahan identiti dan keperibadian muslim yang sebenar adalah terletak kepada sejauh mana ia membezakan dirinya daripada golongan-golongan kafir dengan hanya berpegang kepada sumber yang sahih ini.
Keistimewaan manusia di atas makhluk yang lain ialah manusia dianugerahkan aqal. Akal merupakan daya yang kuat bagi manusia memikir dan menilai serta memilih. Dengan kekuatan akal manusia dapat mencapai berbagai-bagai kemajuan dalam kehidupan mereka. Tetapi pada hakikat yang sebenar, kemampuan akal ada batasnya dan tahap pencapaian serta penerokaannya ada penghujungnya.
Akal manusia dapat menjangkau sesuatu yang ada di sekelilingnya tetapi terbatas dalam menentukan apa yang ada pada dirinya sendiri. Demikian juga akal manusia dapat menggambarkan hasil dan kesudahan terhadap sesuatu yang diusahakan oleh tangannya tetapi terbatas dalam menggambarkan kesudahan terhadap dirinya sendiri kerana ia sendiri dicipta oleh suatu kuasa yang ia tidak terdaya menggambarkan zat-Nya.
Pada tahap kebuntuan akal dan terhentinya keupayaan jangkauannya, Islam menetapkan bahawa manusia dan wahyu adalah satu fenomena yang tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Malah di dalam Islam, sejarah wahyu adalah sebaya dengan sejarah manusia sendiri. Al-Qur'an menjelaskan hakikat ini yang mafhumnya:
"Kami berfirman: '"Turunlah kamu dari syurga ini. Kemudian jika datang hidayahKu kepada kamu, maka barangsiapa yang mengikuti hidayahKu, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati." (Al-Baqarah: 38)
Allah menjelaskan juga bahawa hubungan manusia dari berbagai umat dan zaman melalui rasul-rasul-Nya. Dasar hubungan mereka adalah sama, iaitu dengan wahyu Allah kepada rasul-rasul tersebut.
Firman Allah yang mafhumnya:
"Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi-nabi kemudiannya, dan Kami telah memben:kan wahyu (pula) kepada Ibrahim, Isma'il, Ishaq, Ya'qub dan anak cucunya, 'Isa, Ayyub, Harun dan Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud. Dan (Kami telah mengutus) rasul-rasul yang sungguh telah Kami kisahkan tentang mereka kepadamu dahulu, dan rasul-rasul yang tidak Kami kisahkan tentang mereka kepadamu. Dan Allah telah berbicara kepada Musa dengan langsung. (Mereka Kami utuskan) selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan agar tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutuskan rasul-rasul itu. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (A1-Nisa': 163-165)