Berkata Imam al-Ghazali :“Aku menyeberangi lautan fekah, aku sampai ke seberang, aku menyelami lautan tauhid, aku sampai ke seberang, aku menyeberangi lautan falsafah, aku sampai ke seberangnya, (tetapi) apabila aku menyeberangi lautan tasawuf, aku tenggelam dalam lautannya tanpa penghujung.
Sesungguhnya kepentingan mendalami lautan tauhid melalui jalan tasawuf amatlah ditekan oleh para ulama yang telah mengecapi hasilnya.
Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW : “Wahai Rasululah, apakah amal yang lebih afdhal?”
Rasulullah SAW menjawab : ”Mengenal Allah azza Wa Jalla…”.
Mereka bertanya lagi : “Apakah segala amal yang lebih pahalanya…?”
Rasulullah SAW menjawab : ”Mengenal Allah Azza Wa Jalla…”.
Sahabat tersebut bertanya lagi : ”Ya Rasulullah, kami bertanya tentang amal, mengapa tuan menjawab dengan ilmu…?”
Rasululah SAW bersabda : ”Bahawa sedikit amal dengan mengenal Allah adalah lebih baik daripada banyak amal tetapi tidak mengenal Allah. Kerana amal yang seperti itu tidak bermanfaat”.
Imam al-Ghazali menyatakan dalam kitab beliau ‘Jawahir al-Quran’ : “Bahawasanya ilmu tariqah dan suluk yang dinamakan dengan ilmu tasawuf itu adalah lebih tinggi dan lebih mulia daripada ilmu fiqh dan ilmu kalam, dan yang lebih tinggi daripada semuanya itu adalah ilmu makrifat yang dinamakan juga ilmu hakikat”.
Ilmu tariqah dan suluk itu adalah jalan bagi mengetahui ilmu hakikat, yang dinamakan dengan “ilm al-Nafi’, yakni ilmu yang memberi manfaat di akhirat kelak. Selain itu juga dinamakan dengan ilmu tasawuf sebagaimana yang akan dihuraikan kelak pada bahagian lain dalam kitab ini.
Al-‘Arif Billah al-Sayid ‘Abd Allah ibn ‘Alawi al-Haddad, di dalam kitab beliau yang berjudul ‘Kitab al-Ilmiah wa Usul al-Hikmah’, menyatakan sebagai berikut :
“Kemudian daripada itu, apabila engkau tilik kepada karangan Aimmat al-Din, yakni ulama ahli tasawuf daripada segala kitab yang memberi manfaat pada agama dia akhirat kelak, nescaya tiada engkau lihat sebuah kitab pun yang lebih menghimpunkan sebagai ilmu yang memberi manfaat itu daripada segala kitab yang ditulis oleh Imam al-Ghazali, seperti ‘Ihya ‘Ulum al-Din’, ‘Arba’in al-Ushul’, ‘Minhaj al-‘Abidin’, ‘Bidayat al-Hidayah’.”
“Semua kitab ini telah dikenal oleh orang-orang al-Haqq dan al-Inshaf, yakni orang yang adil dan mempunyai mata hati di dalam agama, tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang dungu lagi jahil, atau orang yang tergolong kepada ulama zahir yang telah memperdayakan dirinya dan lalai daripada kembali kepada jalan kebenaran. Mudah-mudahan Allah Taala memberi ilham akan kami dengan petunjukNya dan memelihara kami daripada kejahatan diri kami sendiri dan kejahatan amal kami. Sesungguhnya tiada daya menjauhi maksiat dan tiada upaya melakukan ketaatan melainkan dengan pertolongan Allah Taala”.
Syaikh Ibn ‘Ibad menukilkan di dalam kitab beliau Syarah Hikam daripada Ibn ‘Athaillah, katanya :
“Ketahuilah olehmu, bahawasanya yang dimaksudkan dengan kelebihan ilmu yang dinyatakan secara berulang-ulang di dalam al-Quran dan As-Sunnah ialah ilmu yang memberi manfaat yang disertai dengan perasaan takut kepada Allah, serta dilengkapi dengan kegerunan kepada Allah dan firmanNya. Adapun yang takut kepada Allah itu hanyalah dari kalangan ulama, takut itu melazimkan akan ilmu”.
Dalam kitab Sirras Salikin disebut : “Adapun yang dimaksudkan dengan ilmu itu sebagaimana yang diutarakan di atas, yakni ilmu yang tersebut di dalam al-Quran dan As-Sunnah ialah ilmu yang memberi manfaat pada agama akhirat kelak, ilmu-ilmu tersebut telah dinukilkan oleh Imam al-Ghazali di dalam kitab-kitab beliau seperti Minhajul ‘Abidin dan lain-lainnya. Demikian juga segala ilmu tasawuf itu adalah ilmu yang memberi manfaat di dunia dan akhirat kerana ilmu tasawuf sekarang terhimpun di dalam ilmu usuluddin, ilmu fiqh dan ilmu tariqah sebagaimana yang tersebut di dalam kitab ini dan kitab mukhtashar ihya’ ulum al-Din dan lain-lainnya daripada beberapa kitab ilmu tasawuf yang memperkatakan ilmu suluk dan ilmu tariqah.”
Oleh yang demikian, al-Sayid Syaikh Abu al-Hassan al- Syadzili mengatakan :“Barangsiapa yang tiada masuk dan mengetahui akan ilmu ini, yakni ilmu tasawuf nescaya ia mati dalam keadaan mengekalkan dosa-dosa tanpa diketahuinya”.
Sehubungan dengan itu, Syaikh Ibn ‘Ibad menyatakan di dalam kitab beliau Syarah Hikam sebagai tersebut :“Dan segala ilmu ini, yakni ilmu tasawuf, sepatutnya manusia meleburkan diri di dalam menuntutnya sepanjang usianya, dan janganlah ia memadai dengan banyak atau sedikitnya. Manakala ilmu yang lain daripada ilmu tasawuf, adakalanya tidak diperlukan di dalam kehidupan dan adakalanya ia memberi mudharat kepada orang yang memilikinya, jika ia berterusan mendalami ilmu itu. Rasulullah SAW telah bermohon kepada Allah agar dijauhkan daripada ilmu yang tidak bermanfaat, baginda bersabda : ‘Kami berlindung kepada Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat’.”
Selanjutnya Syaikh Ibnu ‘Ibad mengatakan :“Ketahuilah olehmu, bahawasanya telah termaktub dengan banyaknya di dalam al-Quran dan As-Sunnah yang menyatakan kelebihan ilmu dan ulama dengan tidak terhingga. Dan tidaklah diharapkan kelebihan yang demikian itu melainkan oleh orang-orang yang lurus niatnya. Dan tiada lain tujuannya menuntut ilmu selain daripada semata-mata mengharapkan keredhaan Ilahi, dan untuk mengamalkannya dan kerana hendak keluar daripada kejahilan kepada cahaya. Inilah yang dikatakan sebagai niat yang lurus, yang akan diberi penilaian oleh Allah di akhirat kelak dan memperolehi faedahnya di dunia dalam melakukan ibadah. Maksudnya disegerakan faedah ilmu di dunia dengan berbuat ibadah dan ditangguhkan faedahnya pada hari akhirat kelak dengan beberapa pahala”.
Demikian juga segala kitab Ilmu Tasawuf yang tertera di dalamnya adalah ilmu yang memberi manfaat, kerana dalam kitab tasawuf itu telah terkandung ilmu usuluddin dan ilmu fiqh yang fardhu ‘ain, yang perlu diketahui oleh orang yang suluk, yakni orang yang menjalani jalan akhirat yang menyampaikan ke dalam syurga dan meyampaikan kepada makrifat akan Allah dengan mengetahui sebenar-benarnya perkara yang mendatangkan perasaan takut kepada Allah.
Oleh yang demikian, Imam Malik rahimahuLlah pernah berkata :“Barangsiapa yang menuntut ilmu tasawuf dan tiada mengetahui ilmu fiqh yang fardhu ‘ain, maka sesungguhnya jadi zindiqlah dia, dan barangsiapa yang menuntut ilmu fiqh tapi dia tidak menuntut ilmu tasawuf, maka sesungguhnya jadi fasiqlah dia dan barang siapa yang menghimpunkan kedua-duanya maka jadilah dia ulama yang muhaqqiq yang mengenal Allah, dan merekalah yang bernama ulama sufi yang menghimpunkan antara syariat, tariqah dan hakikat.”
Adapun segala kitab Imam al-Ghazali yang dinukilkan di atas, telah terhimpun di dalamnya ilmu usuluddin (I’tiqad) dan ilmu fiqah (ibadat) serta adat. Selanjutnya ilmu tasawuf itu dinamakan dengan ilmu batin yang keseluruhannya dinamakan dengan ilmu suluk dan ilmu tariqah seperti yang akan dihuraikan pada bahagian lain di dalam kitab ini. Insya Allah. Itulah yang dinamakan ilmu yang memberi manfaat di alam akhirat kelak. Ia juga dinamakan dengan ilmu taqwa yakni suatu ilmu yang diperintahkan oleh Allah untuk menuntutnya, untuk dijadikan bekalan menuju akhirat sebagaimana firmanNya yang berbunyi :“Dan hendaklah kamu mencari perbekalan, maka sesungguhnya perbekalan yang paling baik adalah taqwa”. (Al-Baqarah : 107)
Seseorang itu tidak akan pernah takut kepada Allah melainkan dengan mengetahui segala ilmu, sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran bahawa Allah Taala berfirman :“Sesungguhnya yang takut kepada Allah itu dari kalangan hambaNya ialah para ulama”. (Faathir : 28)
Adapun yang dimaksudkan dengan ulama itu ialah ulama yang menjalani jalan tasawuf sebagaimana yang dinyatakan oleh Syaikh ‘Ibad sebelum ini.
Adapun ilmu yang menghimpunkan segala cabang ilmu Islam itu dinamakan dengan ilmu tasawuf yang hakiki. Oleh yang demikian maka barangsiapa yang tiada menceburkan dirinya untuk menuntut ilmu tasawuf maka adalah sebagai pertanda bahawa orang tersebut adalah orang yang kurang imannya, kurang akalnya dan kurang agamanya”.
Demikianlah dijelaskan oleh Syaikh Husain ibn Abdullah di dalam kitabnya tersebut. Sehubungan dengan itu, sepatutnya orang yang mengingini kemenangan di akhirat itu menuntut ilmu tasawuf dan mengajarkannya seperti orang-orang yang menuntut dan mengajarkan ilmu-ilmu yang lainnya. Kerana barangsiapa yang menuntut ilmu tasawuf itu nescaya ia lebih kaya daripada ilmu-ilmu yang lainnya. Adapun ilmu-ilmu selain ilmu tasawuf itu tidaklah lebih utama daripada ilmu tasawuf walaupun orang tersebut dikenal sebesar-besar ulama.
Syaikh Waliyullah yang amat besar Sayyid al-Syaikh Ibrahim al-Dusuqi berkata : “Adapun menuntut ilmu tariqah, yakni ilmu tasawuf wajib hukumnya bagi tiap-tiap murid yakni setiap orang yang menjalani akan jalan akhirat yang mengingini kemenangan di alam akhirat, walaupun ia sebesar-besar ulama pada bidang pengetahuan yang lain daripada ilmu tasawuf ini”.
Sehubungan dengan itu, para ahli sufi mengatakan :“Setiap ahli sufi itu adalah faqih dan bukanlah setiap faqih itu ahli sufi”.
Ini adalah kerana setiap ahli sufi (yang benar-benar ahli sufi) itu memiliki pengetahuan yang mendalam dalam bidang fiqh dan tidak semestinya setiap ulama yang mahir di bidang fiqh itu mengetahui ilmu tasawuf. Kerana ilmu fiqh itu diumpamakan oleh ulama seperti kulit kelapa bahagian luar, manakala ilmu tasawuf (tariqah) bagaikan kulit kelapa bahagian dalam (tempurung) manakala ilmu hakikat adalah bagaikan isinya. Bahkan lebih jauh lagi dapat dikatakan bahawa ilmu fiqh itu bagaikan kulit kelapa, ilmu tasawuf itu bagaikan isinya sedangkan ilmu hakikat itu adalah seumpama minyaknya.
Ilmu yang lain dari ilmu tauhid dan tasawuf adalah menjadi hujah kepada manusia sedangkan ilmu tauhid dan kebersihan jiwalah yang akan menjadi kebenaranmu disisi Tuhan.
Firman Allah :“Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.”(Yusuf :106)
Makrifat para ahli sufi atau Al-Khossah terhasil secara zauqi melalui Tajribah Al-Sufiyyah. Dalam perkataan lain zauqi atau kecapan terhadap pelbagai pengertian makrifat diperolehi secara langsung hasil tajalli di dalam hati (Qalbu) mereka. Mereka yang mengalaminya menjadi tenggelam dan fana’ daripada dirinya sendiri dan daripada segala sesuatu selain daripada Allah. Oleh itu apa yang tersyuhud kepadanya cumalah Allah sahaja. Kesedaran dan perasaannya dilimpahi dengan Qudrah Ilahi yang terlihat pada sesuatu, dengan Iradah Ilahi yang melaksana segala sesuatu; juga dengan perbuatan Ilahi yang kenyataannya dapat dilihat pada gerak dan diamnya segala yang wujud di alam ini. Inilah yang dinukilkan oleh Syaikh ibnu ‘Athaillah dalam Syarah Al-Hikam :
“Bagaimanakah Ia dapat dihijab oleh sesuatu sedangkan Ia yang menzahirkan segala sesuatu.
“Bagaimanakah akan mungkin akan dihijab oleh sesuatu padahal Ia lebih jelas dari sesuatu.
”Bagaimanakah mungkin akan dihijab oleh sesuatu, padahal Ia yang Esa yang tidak ada disampingNya sesuatu apapun.
“Bagaimanakah akan mungkin dihijab oleh sesuatu, padahal andaikan tidak ada Allah, nescaya tidak akan ada segala sesuatu.”
Inilah lautan makrifat Ahli Sufi, makrifat yang ada didalam qalbu mereka tidak boleh difahami oleh kebanyakan orang awam, oleh para ahli ilmu kalam. Makrifat mereka adalah melalui penghayatan jiwa yang berjelira, memperkayakan pengalaman keruhanian mereka sehinggakan membuahkan makrifat yang kehalusannya sukar difahami oleh pandangan biasa yang tumpul.
Inilah apa yang dikatakan oleh Al-Tahanawi bahawa orang yang mengalami makrifat melalui jalan kesufian, mereka melihat setiap zat, pelbagai sifat dan pelbagai perbuatan, tenggelam hapus dalam pancaran cahaya Zat Allah, pelbagai Sifat KesempurnaanNya dan PerbuatanNya.
Syaikh Al-Junaid mengatakan :
"... daripada makrifat ahli sufi, ia wujud tanpa kemahuan berdiri di hadapan Allah dalam keadaan melihat tadbiran Allah terus atas dirinya, ia melihat Allah dalam QudrahNya menentukannya. Dan dia menjadi tenggelam dalam lautan kesatuan Allah, benar-benar fana’ daripada dirinya dan daripada seruan Allah kepadanya serta daripada jawapannya kepada Allah, iaitu merupakan satu kenyataan yang sejati terhadap Wahdaniyyah Allah dalam kehampirannya yang sejati dengan Allah. Lalu kesedaran dan aksinya menjadi hilang kerana Allah melaksanakan di dalam dirinya apa yang diKehendaki olehNya. Ilmu tentang hal yang demikian diperolehi apabila telah kembalilah seseorang hamba dari akhir ke awalnya, supaya ianya menjadi sebagaimana semula; iaitu sebelum ia menjadi seperti sekarang. Dalil dalam hal ini ialah firman Allah :"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan Zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanya-Nya): ‘Bukankah Aku Tuhan kamu?’ Mereka semua menjawab, ‘Benar …’." (al-‘Araf :172)
Mendalami lautan Ilmu KeTuhanan melalui jalan ahli sufi adalah yang bersih dan sempurna, ia mempelajari tentang Tuhannya dengan Tuhannya sendiri. Ia memperolehi melalui jalan tajalli ke dalam qalbinya.
Dalam kitab Siraj Tholibin Syaikh Al-Junaid berkata :“Tidak ada yang (dapat) mengenal Allah kecuali Allah sendiri.”
Telah berkata Abu Bakar r.a, pada sebahagian khutbah beliau di atas mimbar :“Segala puja-puji hanya untuk Allah yang tidak pernah menciptakan jalan apapun bagi makhluk untuk makrifat kepadaNya kecuali (makhluk itu sendiri) dapat merasakan kelemahan untuk makrifat kepadaNya.”
Siapakah yang lebih mengetahui tentang diriNya melainkan diriNya. Akal amat terbatas dalam mengenal Tuhannya, namun disana dalam diri insan, insan memiliki ruh yang memiliki kekuatan untuk menangkap rahsia Tuhannya yang tak mampu difahami oleh akal. Ia sudah makrifat dengan Tuhannya sebelum ia berada dalam jasad ini, ia memiliki keistimewaan yang hebat mengatasi makhlukNya lain. Namun kebanyakan ruh ini telah lupa akan asalnya apabila berada di alam ini, sehingga ia diselaputi hijab-hijab yang tebal antara ia dengan Tuhannya. Ini disebabkan dosa-dosa yang dilakukan, terhijab dengan jasad kasar yang dicipta dari tanah, terhijab dengan dunia yang diperlihat indah, terhijab dengan makhluk disekelilingnya. Ia menjadi lupa asalnya, ia menjadi jahil, menjadi buta, menjadi pekak, menjadi bisu, ia tidak kenal dirinya siapa, ia hidup bertuhankan hawa nafsu dan syaitan, syaitan membawa ia kepada neraka kegelapan ketuhanan.
Berkata syaikh Al Junaid :“Ruhnya perlu dikembalikan kembali ke alam asalnya, kepada sifat kesucian asalnya…”
dan tiada jalan lain untuk mengembalikan kesedaran ruh ini melainkan melalui jalan tariqah para ahli sufi. Apabila ruhnya suci, ia akan mengenal Tuhannya kembali dengan jalan limpahan yang berlaku kedalam qalbinya.
Mempelajari ilmu makrifat adalah amat penting. Ulama Tasawuf menghukumkan “fardu ain” untuk setiap mukallaf mempelajari atau menuntut secara “ijmali” (global/pokok) dan “fardu kifayah” mempelajarinya secara “tafsili” (terperinci).
Syed Amin Al-Kurdi menegaskan :
“Ketahuilah bahawa pengenalan diri adalah suatu urusan yang penting untuk setiap peribadi. Kerana sesungguhnya siapa yang mengenal dirinya, nescaya ia dapat mengenal Tuhannya. Yaitu mengenal dirinya yang hina, lemah serta fana’. Dengan itu, dia dapat mengenal Tuhannya yang bersifat mulia, kuasa dan kekal abadi. Siapa yang jahil terhadap dirinya bererti dia jahil terhadap Tuhannya”. (Tanw. Qulub : ms 464)
“Amal soleh yang dilakukan tanpa makrifat kepada Allah akan berkesudahan pada kesia-siaan, gugur tidak bernilai, laksana abu yang ditiup angin di Hari Angin Badai”.
“Makrifat itu memastikan datangnya tenteram pada hati seperti juga ilmu membawa ketenteraman pada akal. Siapa yang bertambah nilai makrifatnya, bertambah pulalah rasa tenteram pada hatinya.” (ucapan Ad-Daqqaq : Risalah Qusyairaiyah).
“Maka sayogianya bagi orang yang berakal agar mengerahkan seluruh kemampuannya dalam menuntut Ilmu Makrifat para ahli sufi dan tidak menunda-nunda dalam hal itu. Janganlah terjadi, bila maut datang menjelang, kebutaan kerana kebodohan datang menimpa (akhirnya) tidak ada lagi jalan untuk melihat cerah.
Allah berfirman :“Dan sesiapa yang buta di dunia (nescaya) ia buta di akhirat.” (Al-Isra’ : 72)
Imam al-Ghazali rahimahuLlah belum merasakan nikmatnya ilmu ini meskipun sudah menjadi ulama ikutan para zamannya sebagai seorang Pembesar Negeri. Beliau mendapat kepuasan batin setelah beliau menyediakan sebahagian umurnya untuk beruzlah sambil beliau menyusun beberapa kitab dimana sebuah kitab beliau yang terkenal ialah Ihya ‘Ulumuddin.
Sebahagian para ‘ArifbiLlah mengatakan (termasuk Imam al-Ghazali) :
“Siapa yang tidak kebagian ilmu ini (ilmu batin), saya khawatir atasnya akan menemukan “su-ul khatimah” dan tidak ada jalan yang dapat mengenalNya kecuali dengan perasaan murni”. (Sirajut Tholibin)
Yang dimaksudkan mengenal diri ialah dengan menegakkan sifat kehambaan (Ubudiyah) rasa hina (di hadapan Allah) dan selalu berhajat kepada Allah. Mengenal Allah yang bersifat Kemuliaan, Keagungan dan Kuasa. Dan mengenal diri sebagai seorang yang asing di alam dunia ini hanya sebagai seorang musafir dari dunia menuju akhirat”. (Sirajut Tholibin)
“Hanya sanya, mereka yang telah mencapai tingkat MAKRIFAT adalah mereka yang (dalam batin) tidak menghiraukan sesuatu yang ada pada mereka dan bertahan pada apa yang ada pada Allah SWT”. (Risalah Al-Qusyairiyah)
Dunia para ‘ArifbiLlah adalah dunia kebatinan dengan ‘ asyik wal ma’syuk. Mereka tenggelam dalam dunianya yang mereka rasa lebih nikmat dan suci berbanding dengan dunia material yang sedang dihadapinya. Demikian pula ungkapan oleh Syaikh Junaid yang sama sekali tidak menghiraukan apapun jua kecuali yang mereka cintai. Kalau dunia material itu ada pada mereka, sama sekali tidak tersangkut di dalam hatinya – meskipun hanya selembar sapu tangan. Hati hanyalah tempat zikrullah. Akal dan nafsu melaksanakan tugasnya tetapi jangan membawa hati yang berperasaan murni ke dalam kancah dunia yang menggiurkan.
“Demikianlah, sesungguhnya terdapat perbedaan tingkat makhluk dalam hal makrifat kepada Allah Taala, menurut ukuran apa yang terbuka buat mereka dari pemberian-pemberian Allah (ilmu-ilmu yang halus), keajaiban-keajaiban segala yang dikuasaiNya, dan keindahan-keindahan ayat-ayatNya di dunia dan akhirat, di alam nyata maupun di alam ghaib (malakut). Bertambah makrifat mereka dengan Allah dan bertambah dekat pula tingkat makrifat mereka menuju makrifat yang sebenarnya / hakiki”. (Siraj Tholibin)
rujukan: Kitab Liku-Liku Jalan KeTuhanan dan Kebenaran - oleh Syeikh Tokku
Posted by Musafir Kelana