Panjang Umur Dalam Ketaatan

Bismillahirrahmanirrahim

Dalam dua tiga hari lagi kita akan menyambut tahun baru 2013.  Bersempena dengan kedatangan tahun baru Masihi ini, mari kita sama2 memasang tekad untuk lebih bersemangat dalam memahami agama. Mari memperbaharui azam.  Tak kira kita umur dah berapa, kena sentiasa mempunyai azam.  

Hargai umur yang ada.  Teringat semasa nak renew lesen kat pejabat pos baru-baru ini, adik tu kata dah tukar sistem, kena renew lesen ikut tarikh lahir. Jadi senang bila nak renew balik lepas ni, ingat expired-nya nanti time kita befday.  Tapi... siapa yang dapat jamin kita dapat renew balik lesen tu lagi di tahun depan?  Siapa dapat jamin kita ini masih ada lagi bila sampai time tu... Wallahu'alam. 

Dipetik nasihat seorang Imam...
...mari kita renung-renungkan tentang fakta panjang umur.  Panjang umur dalam taat dan beramal soleh itu adalah sangat dituntut dalam agama.
Sabda Rasulullah SAW:
yang bermaksud;
"Sebaik-baik kamu orang yang panjang umurnya dan baik amalannya."

Setiap panjang umur itu jika dihabiskan dalam taat dan bakti kepada Allah Taala, maka kebajikan-kebajikan akan bertambah dan darjat akan tinggi di sisi Allah.  Sebaliknya jika panjang umur itu dihabiskan kepada maksiat dan menderhakai Allah Taala, maka yang demikian itu adalah bala dan celaka, kerana ia akan menambah kejahatan dan memperbanyakkan dosa.

Orang yang mendakwa suka panjang umur di dunia untuk memperbanyak amal soleh yang boleh mendekatkan diri kepada Allah, lalu ia benar dalam dakwaannya di mana setiap hari dia mengerjakan amal kebaikan serta menjauhkan diri dari urusan dunia yang boleh menghalangnya dari beramal, maka terhitunglah dia sebagai seorang yang benar.

Sebaliknya jika dia malas dan selalu mengabaikan segala amal soleh, maka jelaslah dia terhitung sebagai seorang yang dusta.  Berwaspadalah kita kerana sesungguhnya amal soleh hanya boleh dikerjakan semasa hidup di dunia kerana di akhirat nanti hanyalah tempat balasan, bukan tempat amalan. 

Beringat-ingatlah kita tentang perkara ini.  Pohonlah pertolongan dari Allah dalam menjalani amal soleh dengan penuh tekun dan sabar.  Berusaha dan bersungguh-sungguh dalam mengerjakannya.  Mulakanlah sekarang sebelum terlambat.  Gunakanlah peluang hidup ini sebelum ajal datang dengan mengejut.  Sebab hidup kita sentiasa terdedah dengan apa jua kemungkinan yang tidak terfikir oleh kita, yang pada bila-bila masa saja kita boleh terperangkap dalam pelukan maut.  

Dari Anas ra katanya: Nabi SAW menggariskan beberapa garis, lalu baginda bersabda: Ini adalah angan-angan manusia sedang ini adalah ajalnya.  Kemudian di waktu orang itu sedang dalam keadaan sedemikian yakni angan-angannya masih tatap panjang dan membumbung tinggi, tiba-tiba datanglah garis yang terpendek yakni garis yang memotongnya iaitu kematian. 
(HR Bukhari)

Modal untuk membolehkan kita membeli kebahagiaan yang abadi dari Allah Taala ialah umur kita. Manfaatkan umur dengan sebaik-baiknya. Awas, jangan sampai kita membelanjakan masa kita, hari kita, saat kita dan nafas kita pada sesuatu yang tidak berguna dan tidak bermanafaat.  Kelak tidak lain kita hanya akan menyesal dan berdukacita sesudah mati.  Ketika itu baru tersedar, bahawa diri telah membiarkan umur berlalu sia-sia di pentas dunia.


Selamat tahun baru 2013, moga hidup lebih bermakna InsyaAllah.


Comments
0 Comments

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

kasih komentar