Disampaikan pesanan berharga seorang warga emas yang merupakan seorang tok guru yang dikenali ramai... moga beliau sentiasa diberkati Allah...ameen.
Ada tiga point penting pesanan tok guru...
- Mesti kenal Allah. Mesti usaha untuk dapat kenal Allah. Ilmu tidak akan datang bergolek pada kita, oleh itu kita yang kena usaha pergi mendapatkannya. Untuk capai ilmu, kena-lah belajar. Dapatkan ilmu dari mana2 tok guru, ustaz atau para ilmuwan agar tercapai maksud adanya kemahuan kita untuk belajar. Tadah kitab mengadap tok guru. Hadir dalam majlis ilmu. Tambah ilmu melalui pembacaan dari kitab2 dan buku. InsyaAllah jika ada kemahuan maka akan ada jalannya, bila berilmu kita akan mampu menjadi seorang yang faham agama dan mampu mengenal Allah.
- Mesti tahu dan faham apa yang kita kata. Jangan main cakap saja, kena fikir dulu sebelum cakap. Jika tak fikir dikhuatiri, apa yang kita katakan itu boleh bawa mudharat. Kalau apa yang bakal kita cakap tu baik dan kita pasti hasilnya baik, maka cakaplah. Tapi jika dapat fikir dari akal yang sihat bahawasanya ia kurang baik dan risikonya juga nanti akan menjadi kurang baik maka lebih baik jangan cakap. Kalau kita cakap juga maka tidak lain hanya akan mengundang mudharat pada diri sendiri dan juga orang lain. Banyak mudharat boleh timbul dari lisan. Jadi bila bercakap, pastikan ada kebaikannya bukan yang boleh datangkan keburukan.
- Mesti faham hakikat bahawa setiap apa yang kita lakukan samada kecil atau besar akan mendapat pembalasan di hari akhirat nanti.
Semasa dengar pesanan yang paling akhir, saya tiba2 teringat tentang apa yang kak Ngah duk citer2 semasa kami di dapur. Kak Ngah ceritakan tentang hadis Nabi SAW yang melarang kita dari membuka aib orang. Di akhirat nanti kita tak dapat nak sembunyikan apa-apa perkara yang telah kita perbuat semasa di dunia. Semua orang dapat tengok, umpama ada suatu skrin besar yang semua orang dapat tonton macam kita buat presentation gitu. Jadi jika kita dapat tutup aib orang semasa di dunia, InsyaAllah Allah akan tutup aib kita nanti di akhirat dari dapat dilihat oleh orang lain. Allah akan delete, akan padamkan aib kita InsyaAllah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Barangsiapa yang menutupi seorang muslim, maka Allah SWT akan menutupinya di hari kiamat". (HR Bukhari dan Muslim)"Seorang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzaliminya dan menghinakannya. Sesiapa yang membantu keperluan saudaranya maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang melapangkan satu kesusahan seorang muslim maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan sesiapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat". (HR Muslim)
Maka AWAS, hati-hati lah kita... Berwaspada terhadap percakapan dan perlakuan kita sebab semuanya nanti akan dipertanggung-jawabkan ke atas kita semasa di akhirat nanti. Kecil atau besarnya setiap perkara semua dalam pengetahuan Allah. Mari bermuhasabah diri. Perbetulkan sedikit demi sedikit. Jangan putus asa bila terbuat dosa kerana hakikat kita sebagai manusia biasa sering tidak terlepas dari melakukan dosa. Banyakkan Istighfar mohon ampun pada Allah. Moga Allah ampunkan kita. Banyak2 kita lakukan amalan ketaatan kepada Allah semasa masih hidup di dunia kerana bila dah tinggalkan dunia kita dah tiada peluang untuk melakukannya. Di akhirat kelak, hanya ada pembalasan... tiada lagi amalan....
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.(Surah an-Nisa: 40)
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.(Surah al-Hujurat:6)
Firman Allah SWT lagi:
Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?(Surah ar-Rahman: 60)
Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan. (Surah al-Hujurat: 18)
Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan. (Surah al-Hujurat: 18)
Wassalam.