SOALAN
Bagaimana sumbangan kitab al-Risalah al-Qusyairiyah dalam memperbaiki tasawwuf mengikut akidah ahli sunnah?
JAWAPAN
Jika diteliti al-Risalah al-Qusyairiyah, maka jelas kepada kita apa yang dikehendaki oleh al-Qusyairi iaitu untuk memperbetulkan tasawwuf berasaskan aqidah ahli al-Sunnah, beliau berkata:
Ketahuilah! Allah merahmati kamu, bahawa syeikh-syeikh tasawwuf telah membina dasar amalan mereka atas prinsip-prinsip yang betul dengan mentauhidkan Allah, dan mereka menjaga akidahnya daripada perkara-perkara bidaah, mereka berpegang dengan apa yang dipegang oleh ahli Salaf dan Ahli Sunnah yang mentauhidkan Allah dengan tidak ada penyerupaan dan pengurangan (ta’lil), mereka mengetahui apa yang menjadi hak Allah, mereka memastikan apa yang menjadi sifat kepada makhluk dari yang tiada. Oleh itu, pengasas tariqah ini al-Junaid berkata: Tauhid Islam mengesakan Allah dari sifat baharu menetapkan prinsip-prinsip aqidah dengan dalil-dalil yang terang dan kenyataan yang jelas, sebagaimana kata Abu Muhammad al-Jariri. Di antara rahmat Allah, Allah tidak hanya mengadakan dengan satu dalil sahaja yang akan hilang dengan tipu daya.
Ungkapannya ini secara tidak langsungnya menolak syatahat ahli-ahli tasawwuf yang mengeluarkan ibarat-ibarat yang boleh mengelirukan pembaca dengan mencampur adukkan sifat-sifat Allah terutamanya sifat qidam dengan sifat-sifat manusia terutamanya sifat baharu. Dengan jelas ia mengkritik mereka dengan katanya:
Mereka mendakwa bahawa mereka telah bebas dari belenggu manusia, dan mereka telah sampai kepada hakikat, dan mereka berdiri bersama Allah dan mengikut hukum-hukum yang ada pada Allah, mereka tidak sedar (hal fana). Apa yang mereka lakukan tidak ada apa celaan dan dosa daripada Allah, mereka telah dibukakan rahsia ahadiyah, dan kekal setelah fananya dengan cahaya samadiyah.