HIKAM ATAI’ILLAH KE 28 SYARAH UST SUFI : ZAHIR YANG TERSURAT ADALAH GAMBARAN BATIN YANG TERSIRAT

Menurut Kalam Hikmah ke 28 , Imam Ibnu Athaillah Askandary

 "Sesuatu yang tersembunyi di sebalik rahsia-rahsia hati,terungkap nyata dapat disaksikan dalam realiti kehidupan"

 Menurut Ibn ‘AtaiLlah zahir itu merupakan cerminan kepada hal ehwal batin.Umpamanya seseorang yang batinnya mengenal Allah akan mencetuskan kecintaan dan kerinduannya kepada Allah.Sebaliknya orang yang jahil dan tidak mengenal Allah nescaya dia akan mengharapkan dan bergantung kepada yang lain daripada Allah SWT.Berasaskan kenyataan tersebut segala tindakan dan amalan yang zahir amat dipengaruhi dan ditentukan oleh keadaan hati dan jiwa seseorang..Apabila keadaan hatinya dihiasi dengan sifat mahmudah atau terpuji seperti sabar,berani,bijaksana dan redha maka akan menyusul amalan-amalan yang sholeh mengiringinya.Sebaliknya apabila hati seseorang itu dihiasi dengan sifat-sifat mazmumah atau tercela seperti hasad,khianat,takabbur, ‘ujub dan riya`maka akan menyusul selepasnya satu set perbuatan dan tindakan yang memanefestasikan keadaan batin seseorang itu.
 
Justeru itu zahir itu dinisbahkan sebagai tentera kepada yang batin.Jikalau khusyu’ hati seseorang maka akan khusyu’ ( tenang dan tunduk ) juga segala pancainderanya.Apabila hati itu dipenuhi dengan nur hidayah maka ia akan melimpah ke seluruh anggota manusia dengan amalan-amalan mulia seperti membantu orang-orang yang memerlukan bantuan,bersedekah,berdakwah dan menyebarkan ilmu kepada manusia.

 Sehubungan ini Allah SWT menggambarkan keadaan hati orang-orang yang tidak beriman dan mensyirikkan Allah yang telah mempengaruhi tindakan-indakan zahirnya.FirmanNya :

 Maksudnya : Dan (diantara keburukan orang-orang yang melakukan syirik):apabila disebut nama Allah semata-mata,menjadi liarlah hati-hati orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat.Sebaliknya apabila  disebut nama-nama yang mereka puja ang lain daripada Allah,mereka dengan serta merta riang gembira. ( Surah al-Zumar ayat 45 )

 Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Hasan al-Basri telah ditanya tentang konsep hati yang terbuka atau berdada lapang,lantas Rasulullah SAW merujuk kepada firman Allah SWT  :

 Maksudnya : Barangsiapa ang dikehendaki Allah akan menunukinya,nescaya terbuka dadanya untuk menerima Islam.Barangsiapa yang dikehendaki Allah untuk disesatkan nescaya sempitlah dadanya,seolah-olah dia hendak naik mendaki ke langit.Demikianlah Allah menjadikan kejelikan itu bagi orang-orang yang tidak beriman.( Surah al-An’am ayat 125 )

 Sehubungan ini Rasulullah SAW menjelaskan bahawa hati yang tenteram adalah apabila nur Ilahi telah dianugerahkan oleh Allah ke dalam hati seseorang  maka dadanya menjadi lapang dan cenderung kepada kebenaran dan hatinya menolak kebatilan dan apa jua yang bercanggah dengan ajaran Islam.

 

 

Comments
0 Comments

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

kasih komentar