Bersambung dari SINI...
Dari tiga tahap akal yang di sebut iaitu akal sejengkal, akal 2 jengkal dan akal 3 jengkal, maka suluh satu persatu, di mana kita.
Ustaz selitkan pasal doa. Senjata orang mukmin adalah doa. Senjata ini tidak ada pada orang yang bukan Islam. Ujian banyak... maka lawanlah dengan doa. Siapa yang seru Allah, hati musuh akan bergetar dan gerun InsyaAllah.
Doa itu hebat. Allah bagi ganjaran pada orang yang beramal, InsyaAllah doa jadi mustajab.
Bagi sesiapa yang mengeluarkan perkataan mencela/maki hamun/ sumpah dusta seperti celaka kamu, sial kamu dan sebagainya maka perkataan tadi akan berterbangan dan akhirnya hanya akan kembali semula pada tuan yang berkata. Jadi, jaga-jaga terhadap perkataan yang keluar dari mulut kita.
Syarat nak lepas, kena jumpa dengan orang yang kita fitnah. Bersalah dengan makhluk, berat. Walau buat haji banyak kali sekali pun namun tidak akan lepas dosa kita pada orang tersebut selagi tak pergi jumpa minta maaf.
Dari Abuddarda' r.a., katanya: "Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya seseorang hamba itu apabila melaknat kepada sesuatu, maka naiklah kelaknatannya itu ke langit, lalu ditutuplah pint-pintu langit itu agar tidak masuk ke dalamnya, kemudian turun kembali ke bumi lalu ditutuplah pintu-pintu yang menuju ke arah bumi itu agar tidak dapat masuk ke dalamnya, selanjutnya ia bolak-balik ke kanan dan ke kiri. Seterusnya apabila tidak lagi ia memperoleh jalan masuk, maka kembalilah ia kepada orang yang dilaknat, jikalau yang dilaknat memang benar-benar sebagaimana isi yang dilaknatkan, maka kelaknatan itupun tetap berada dalam diri orang ini, tetapi jikalau tidak, maka kembalilah ia kepada orang yang mengucapkannya - sehingga ia akan memperoleh bencana dengan sebab ucapan laknatnya tersebut." (Riwayat Abu Dawud)
Dari Abu Zar r.a meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang memanggil seorang sebagai: Hai si Kafir! atau Hai musuh Allah!, tetapi orang itu tidak sebagaimana yang dipanggil, maka ucapannya akan kembali kepada yang mengatakan demikian. (HR Muslim)
________________________
bersambung bab ZuhudBagi orang yang zuhud iaitu yang tak kasih pada dunia, ada dunia takde dunia tak ada bezanya. Ada sama, tak ada pun sama. Berbeza dengan orang yang kasih akan dunia, bila di-hina lain bila di-puji lain. Bila ada duit lain bila tak ada duit lain. Nak cari ikhlas, payah. Contoh 1: Tiba satu ketika ada orang datang minta sedekah dari kita, kita senyum hulurkan sedekah. Mulut kata, "Ambik lah, pakcik ikhlas..." tapi dalam hati merungut kata orang tu pemalas, bukan nak kerja.. tau mintak sedekah je... Contoh 2: Penceramah yang datang beri tazkirah tak dapat sampul duit. Dalam hati berkata2, "Orang masjid lupa ke apa?.. Aku penat2 datang, jauh pulak tu..." Setiap kejadian ada asbabnya. Mungkin Allah nak uji bagaimana sebenarnya hati kita.
Bila hati tak kasih pada dunia.. ada tak ada, sama. Pakai barang yang murah atau mahal, semua rasa sama. Dalam hati tiada kepentingan lain, bukan sebab makhluk tapi hanya kerana Allah.. Lillahhi Ta'ala. Pakai baju elok bukan hanya untuk pergi pejabat mencari rezeki tapi sentiasa pakai yang cantik dan wangi bila nak berhadapan dengan Allah.
Masalah hati bukan senang untuk ditangani. Bercakapnya mudah tapi untuk nak praktiknya amatlah payah. Bagi yang tak kasih dunia, hartabenda padanya ibarat air, tak sangkut. Dapat rezeki, terus sedekah. Yang cinta harta, dapat rezeki rasa sayang untuk keluarkan balik sebagai sedekah. Rasa itu 'duit aku', kalau bagi nanti habis.
Ustaz gambarkan bahawa ada tiga perhiasan bagi seorang lelaki. Kalau tak ada kriteria tersebut, malu-lah untuk menjadi seorang lelaki.
Tiga perhiasan tersebut ialah:
- Ada ILMU yang beramal dengan ilmunya. Jadi kalau nak cari menantu, pastikan ada sifat ini. Jangan nanti sifat 20 pun tak tahu...
- Murahkan hartanya kepada manusia dan tak ingat pun selepas memberi. Contoh: Bagi sedekah kipas, lupa kasi pada siapa... tolong orang, tapi lupa tolong siapa... beri bantuan tapi lupa kebaikan yang dihulurkan. Jadi selepas ini, jika kita beri kipas, bagi sejadah pada masjid elok lah tak payah ditulis nama. Bagi je, niat sedekah kerana Allah. Biar orang tak tahu, biar hanya Allah yang tahu. Latih diri.. bersedekah ikut kemampuan kita. Jadi pemurah bukan kedekut. Kedekut ini hina, kedekut ini cela.
- Sangat berusaha kepada pekerjaan yang beri manafaat. Maksudnya, jadi laki-laki yang rajin bukan pemalas.
Orang yang tak kasih akan dunia, bila nampak harta bila nampak ilmu, sedar hakikat semua Allah punya. Hati tak rasa diri hebat, tak rasa ilmu itu aku yang punya, harta itu aku yang punya. Harta yang kita rasa kita punya akan habis sebaliknya jika sedar hakikat harta dari Allah, walau kita terus guna ianya tak akan habis. Allah yang datangkan rezeki. Yakin dan percaya, maka harta tak akan habis walau kita banyak bersedekah/guna di jalan Allah.
Jangan teragak2 contoh: Nak sedekah RM10, rasa banyak lah pulak sebab rasa duit tu kita yang punya. Tiap2 hari Jumaat, dari dulu sampai sekarang tak meningkat, kekal bagi seringgit kat tabung masjid. Perkara lain banyak meningkat tapi bab ibadah tak meningkat. Bila agaknya nak meningkat? InsyaAllah akan meningkat bila hati kita tak kasih pada dunia.
Yang dikatakan berkat ialah bilamana sikit tapi cukup berbanding dengan ada banyak tapi tak cukup. Ada orang yang bergaji bulanan kecil tapi cukup untuk makan pakai sekeluarga. Namun ada orang yang bergaji besar tapi duit selalu tak cukup-cukup.
Sudah lumrah, orang hanya nak sihat, tak nak sakit. Orang hanya nak kaya saja, tak nak miskin. Tapi jangan kita jadi orang yang begitu bakhil/kedekut. Kalau kedekut sangat, dikhuatiri Allah bagi ujian yang tak terfikir oleh kita, hilang harta sekelip mata... nauzubillah.
Ada yang murah hati bagi sedekah tapi beri barang yang dia tak nak. Contoh: Orang yang tak makan kambing, bila ada daging kambing bagi orang lain dengan alasan tak makan kambing. Cuba kalau dia boleh makan, adakah dia akan bagi kambing itu pada orang lain? Wallahu'alam.
Begitu juga contoh jika bagi sedekah buah-buahan. Jangan kita bagi yang tak elok pada orang, yang elok buat makan sendiri. Bila musim rambutan, bukan rambutan yang sampai di masjid tapi masih jugak pisang. Pisang pulak pisang emas yang dah lebu...
Maka suluh diri kita... sesungguhnya mengaji adalah untuk suluh diri. Kata ustaz, masing-masing kena bila diperingatkan, ustaz sekalipun ikut kena. Kita manusia biasa yang lemah, namun mesti cuba semampunya atasi kelemahan. Wallahu'alam.