Jangan Takut Hilang Rezeki

Bismillahirrahmanirrahim

Perkongsian ilmu dari masjid kami:


Jangan takut hilang rezeki.  Tiada perkara yang berlaku di luar pengetahuan Allah.  Semua yang terjadi berada dalam pengawasan-Nya. Hati kita akan tenang dengan keimanan terhadap Allah Taala. Maka bila Allah uji dengan ujian, hati akan tenang bila sedar semua kejadian datang dari Allah. Ujian kesenangan mahupun kesusahan adalah untuk menguji sejauh mana tahap keimanan kita.  Maka bersabar bila ditimpa musibah.
Perancangan Allah lebih baik dari apa yang kita fikirkan. Sudah pasti ada hikmah yang terkandung. 

Ingat apa yang sering kita baca dalam doa Iftitah yang menyebut... Sesungguhnya solatku, Ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah tuhan sekelian alam. Semua perlakuan dan perbuatan kita hanya kerana Allah semata-mata.  Untuk nak tambah keimanan dalam hati maka hendaklah kita tambah amalan ketaatan kepada Allah.  Kalau seseorang menambah amalan soleh, perbaiki akhlak, perbaiki silaturrahim, maka Allah akan tambah iman dalam hatinya. 

Sebaliknya jika buat maksiat, Allah akan letakkan satu titik hitam dalam hati.  Lagi banyak buat yang tak baik, lagi banyak titik hitam.  Maka hendaklah sering berzikir dan berdoa, hendaklah selalu baca quran, sentiasa jaga solat di awal waktu untuk solat yang Allah fardhukan buat kita dan hendaklah usaha untuk melakukan solat-solat sunat.  Solat merupakan amalan terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Solat sunat terbahagi kepada dua iaitu solat sunat Rawatib dan sebahagian lagi ialah solat-solat sunat yang lain seperti solat Dhuha, Witir, solat malam dan sebagainya.
 
Allah mencintai mereka yang mengerjakan amalan-amalan sunat termasuk solat-solat sunat. 

Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya:
Sesungguhnya Allah Taala berfirman: Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, sungguh Aku telah mengizinkan agar dia diperangi. Tidak ada amal yang paling Aku senangi yang dipergunakan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku selain ibadah yang telah Aku fardukan kepadanya. Hamba-Ku yang sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadah sunat (nawafil), pasti Aku mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya, maka Aku menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar; Aku menjadi penglihatannya yang dengannya dia melihat; Aku menjadi tangannya yang dengannya dia membuat (sesuatu); Aku menjadi kakinya yang dengannya dia berjalan; jika dia memohon kepada-Ku pasti akan Ku beri; jika dia memohon perlindungan daripada Ku pasti akan Ku lindungi dia. Aku tidak pernah bimbang dalam melakukan sesuatu sebagaimana kebimbangan Ku ketika hendak mencabut nyawa seorang mukmin yang tidak menyukai sakitnya sakratul maut, sementara Aku pun tidak ingin menyakitinya – HR Bukhari

Iman akan bertambah jika melakukan ketaatan, sebaliknya ia akan berkurang jika kurang melakukan ketaatan.  Cuba lihat hubungan kita dengan Allah, renungkan pula bagaimana hubungan kita dengan manusia.  Sesungguhnya hubungan kita dengan manusia adalah hasil dari hubungan kita dengan Allah.  Kalau hubungan dengan Allah baik, maka hubungan dengan sesama manusia pun InsyaAllah akan tiada masalah.


Hendaklah kita konsisten melakukan amalan ketaatan.  Istiqamah melakukannya, hendaklah lurus di jalan Allah Taala.  Di sana ada perintah Allah yang perlu di-ikut.  Di sana ada perkara yang dilarang yang perlu dijauhi.  Hendaklah ikut, jangan tengok kanan, jangan tengok kiri.  Jangan ada yang mampu mempengaruhi kita untuk tidak ikut perintah Allah.  Istiqamah beramal ialah terus ikut jalan Allah dan tidak ikut jalan lain yang menyeleweng.Kita berterusan melakukan semua yang diperintah kerana Allah suka jika kita buat sesuatu yang konsisten.  Ada tabiat manusia yang suka buat sesuatu sekejap saja, lepas tu berhenti tak buat lagi.  Contoh semasa bulan Ramadhan, kita rajin beramal, rajin baca quran tapi malangnya habis Ramadhan kita berhenti.  Alangkah ruginya kita. Maka cubalah untuk konsisten dalam beramal. Allah lebih suka amalan kita kecil/sedikit tapi berterusan dari yang banyak tapi terputus.


Orang yang berterusan dengan Allah Taala, hatinya akan tetap dengan Allah.  Contoh: Setiap hari dia mesti baca quran.  Bagaimana sibuk sekalipun, dia tetap ada masa baca quran.  Sepatutnya seseorang mukmin itu, dia ada hubungannya setiap hari dengan kitab Allah Taala.  Allah akan tambah aset kita iaitu pahala bilamana kita membaca al-quran.  Kedudukan kita InsyaAllah akan berada di tahap tinggi jika kita baca quran.  Lagi banyak kita baca quran, lagi tinggi kedudukan kita di akhirat.  Begitu jugalah dengan berzikir kepada Allah.  Nanti di hari akhirat, manusia akan menyesal kerana semasa hidup di dunia tidak di-isinya masa dengan berzikir kepada Allah.  Banyak masa terbuang sia-sia, habis masa hanya kepada perkara lara..nauzubillah.


Antara hasil taat pada Allah, maka InsyaAllah akan lahirlah taat yang berikutnya.  Tanda Allah terima amalan ketaatan kita ialah apabila kita dapat lakukan ketaatan yang berikutnya.  InsyaAllah Allah akan tambahkan takwa dalam diri kita...Maka banyakkanlah bekalan kita sebagaimana, 

firman Allah dalam Surah al-Baqarah 197 yang bermaksud:
Bertaqwalah dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa dan bertaqwalah kepada-KU hai orang-orang yang berakal.

 "Ya Allah kurniakanlah ketakwaan buat hamba dan sucikanlah hamba dari maksiat... aminn ya rabbal 'alamin.."


 
 
Comments
0 Comments

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

kasih komentar