SOALAN
Apakah tujuan sebenar tasawwuf?
JAWAPAN
Tujuan sebenar tasawwuf mengikut pandangan Syeikh Abd al-Hafiz Faraghli Ali al-Qarani daripada risalahnya Mabadi’ al- Tasawwuf al-Islami. Antara lain beliau berkata: “Tasawwuf akan bertambah kuat kalau kita menggunakannya atau menjadikan orang-orangnya sebagai contoh, sama ada dari sudut kepahlawanan atau kemuliaan bagi mengangkat martabat umat ini.”
Oleh itu, kita tidak boleh menjadikan khususiyat yang diamalkan oleh syeikh-syeikh tarikat sebagai amalan kepada orang ramai. Hal ini termasuklah keinginan bertajarrud, tidak berkahwin dan beruzlah, yakni mengasingkan diri. Semua keadaan ini khusus bagi orang yang tertentu sahaja dan tidak boleh dijadikan penghayatan untuk orang awam.
Di samping itu, keadaan yang khusus dan ganjil tidak pernah diwajibkan kepada orang ramai untuk diamalkan. Abu Talib al-Makki, pengarang kitab Qut al-Qulub berkata di dalam kitabnya, Bisyr bin al-Harith berkata tentang Ahmad bin Hanbal: “Sesungguhnya kelebihan Ahmad bin Hanbal atasku pada tiga perkara iaitu: Menuntut yang halal untuk dirinya dan untuk orang lain tetapi aku hanya untuk diriku sendiri, dia berkahwin tetapi aku tidak berkahwin, dia menjadi imam untuk semua orang tetapi aku berseorangan.”
Sekiranya kita lihat kepada tarikat sufiah sekarang ini, kita dapati beribu-ribu orang pemuda berada di bawah benderanya. Pemuda adalah harapan dan senjata ummah. Kekuatan mereka mampu membangkitkan kemajuan umat ini. Hal ini merupakan satu cabaran kepada syeikh-syeikh tariqat untuk memberi harapan kepada pemuda-pemuda tersebut kekuatan rohani yang sebenar dan menjadikan mereka satu tenaga yang besar dan aktif.