Tampilkan postingan dengan label Matahati. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Matahati. Tampilkan semua postingan

Rasa Kemanusiaan

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah sering diperingatkan oleh para ustaz untuk tidak melupakan saudara-saudara kita yang sedang dalam dukacita di luar sana.  Kita tidak mampu ke sana namun bantulah mereka sekurang-kurangnya dengan doa kita.  Berdoalah untuk mereka. Adalah menjadi tanggung-jawab setiap dari kita untuk mendoakan kaum muslimin yang sedang dalam kekurangan di sana. Sesungguhnya mereka masih  tidak dapat mengecapi nikmat keamanan sepertimana yang sedang kita kecapi sekarang ini. Kata ustaz, kita di sini tiada masalah untuk ke masjid, tiada masalah untuk keluar ke sana kemari namun begitu berbeza dengan kedudukan mereka yang sekarang ini jika hendak berkumpul di masjid sekalipun, besar kemungkinan akan ditembak, jika hendak keluar dari rumah pun, besar kemungkinan akan ditangkap...

Nikmat keamanan yang kita perolehi hari ini hendaklah kita zahirkan kesyukurannya dengan ikut mendoakan keamanan buat saudara-saudara seIslam kita yang saat ini sedang tertindas.
Hadis Nabi SAW ada menyebut:
"Bukan dari golongan kami, orang yang tidak mendoakan kaum muslimin yang lain."

"Tuan-tuan, adalah menjadi tanggung-jawab kita semua untuk mendoakan agar Allah kembalikan keamanan kepada mereka, semoga Allah beri kemenangan kepada mereka...",  terdengar suara ustaz dalam nada sayu berpesan kepada kami dalam tazkirah pendek beliau selepas solat Isyak. Saya dan sahabat di sebelah bergenang airmata takkala ikut ustaz berdoa buat Dr Mohamad Mursi dan saudara-saudara Ikhwanul Muslimin di bumi Mesir.

Dalam banyak sesi kuliah Maghrib yang lain, para ustaz mengingatkan agar kita tidak menjadi seperti buih-buih di lautan ataupun buih-buih ketika banjir.  Maknanya bila angin tolak ke barat, kita ke barat.  Angin tolak ke timur, kita ke timur.  Buih-buih tersebut walaupun begitu banyak namun ternyata tidak memberi sebarang nilai.  Begitulah perumpamaannya umat Islam ketika ini di mana walau berada dalam bilangan yang sebegitu ramai namun jelas agak tidak terkandung kualiti, tidak dapat memberi manafaat.. Kata ustaz, bak kata orang N9... hampeh!

Ustaz tegaskan bahawa bila tak ada kualiti dalam diri umat Islam, sebagaimana yang dinyatakan dalam Hadis Nabi SAW, maka Allah akan menarik perasaan gerun di dalam hati orang kafir dan orang musyrikin terhadap  kamu lalu Allah campakkan ke dalam diri kamu penyakit iaitu penyakit cinta dunia dan takut mati. Cinta dunia itu termasuklah cinta duit, cinta kuasa, cinta pangkat, cinta perempuan, cinta konsert-konsert lagho dan sebagainya. Janganlah kiranya di saat saudara-saudara Islam kita sedang di dalam kesempitan di sana,  kita di sini masih boleh terbuai dengan hiburan yang begitu melarakan... astaghfirullah hal adzim.  Sama-sama insafi diri.  Jangan kiranya kita seolah-olah redho dengan kezaliman yang sedang berlaku.

Daripada Tsauban ra berkata: Rasulullah SAW bersabda; "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa di seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'.Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati". (H.R. Abu Daud)

Allah berfirman dalam Surah Hud ayat 113, yang bermaksud:
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

Mohon pada Allah agar dikurniakan hati nurani dan rasa kemanusiaan dalam diri kita. Moga Allah kurniakan rasa peduli dalam hati kita agar kita dapat ikut merasakan kesulitan dan keperitan yang sedang dihadapi oleh saudara-saudara seIslam kita yang sedang dizalimi.. Pesan ustaz, jangan lah kita sekadar mengaku Islam hanya dengan nama di dalam kad pengenalan, jangan sekadar mengaku Islam hanya kerana lahir-lahir memang dah Islam sebab mak ayah kita Islam.  Jadilah kita hambaAllah yang Islam pada keseluruhannya, zahir Islam batin pun Islam.  Biar semua cara hidup kita, cara berpakaian, cara fikir, cara tindakan, cara tutur dan cara tulis kita... biar semuanya Islam.. barulah nanti kita akan terkecuali dari kemungkinan menjadi buih-buih tersebut... InsyaAllah.

Wallahu'alam.

Tetamu Cilik Datang Beraya

Bismillahirrahmanirrahim

Semalam 13 Syawal, sayup-sayup terdengar orang memberi salam di luar.  Saya menjengok ikut sliding door.  Bergegas menarik daun pintu sliding door serta menjawab salam dua orang anak kecil yang sedang berdiri di luar pagar. "Kami datang nak raya...", kata mereka sebaik saja saya membuka pintu depan.

Memandangkan mereka hanya anak-anak kecil, saya dan kak ngah tidak berhasrat menghampakan mereka, terus menjemput mereka masuk.  Sementara saya duk tanya2 anak sapa, umah kat mana, kak ngah ke dapur mengambil minuman dan kueh raya.  Rupa-rupanya mereka dari rumah anak-anak yatim yang terletak kurang 500m dari rumah kami.

Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata, "Nak tumpang tandas..." Saya segera menunjukkan di mana tandas.  Sementara Nasim di tandas, saya dan kak ngah sambung interview Amru yang sedang makan kueh raya dan minum air sirap.  Bila tanya, "Amru belajar apa kat sekolah?" "Belajar ngaji, belajar akhlak...", jawab Amru sambil tersenyum-senyum.  Amru yang berumur 9 tahun smiling face orangnya.. he he
Tengah dengar cerita Amru, Nasim membuka pintu tandas.  Kami semua memandang ke arah sana, tapi Nasim tak muncul keluar.  Tak lama lepas tu, Nasim hanya menjengok kepalanya saja dari pintu tandas.  Saya terus tanya, "Hah Nasim, OK?" "Saya jatuh dalam tandas...", jawab Nasim dalam  gugup.

"Ya Allah, camane boleh jatuh...?" Saya terus bangun menuju ke arahnya.  "Ok Nasim mandi dulu, nanti makcik ambik towel." Setelah capai towel, Nasim kembali menutup pintu tandas.  Saya dan kak ngah kalut cari baju dan seluar untuk Nasim.  Yang sebenarnya, mana ada saiz yang muat untuknya.  Rumah kami tak ada anak kecil. Cari dekat bilik abang Long, takde jumpa tshirt bersaiz kecil.  Bukak kotak yang berisi baju-baju lama, akhirnya alhamdulillah jumpa baju -T yang saiz agak kecil yang InsyaAllah boleh muat untuk Nasim.  Seluar trek pun jumpa yang paling pendek tapi still masih begitu panjang buat Nasim.  Alhamdulillah, ada tali kat pinggang seluar trek yang boleh dicerut dan ikat.  Panjang seluar pula dilipat berkali-kali baru selaras dengan ketinggian Nasim.

Kata Nasim, asramanya adalah untuk anak-anak yatim dan anak fakir miskin.  Saya dan kak ngah terkedu mendengarnya.  Nasim lebih berusia dari Amru.  Semasa Amru tiba-tiba melunjurkan kakinya, Nasim perlahan-lahan menolak kaki Amru memberi isyarat agar duduk leklok.  Amru masih tersengih-sengih memandang Nasim disebabkan kes Nasim jatuh dalam tandas tu.  "Eh Amru, jangan ejek eh, jangan la citer kat kengkawan Nasim jatuh tadi...", kata saya sambil tersenyum.  "Hi hi... hi hi...",kedua-dua mereka saling tergelak mengenangkan peristiwa yang tak disangka-sangka itu.

Alhamdulillah syukur pada Allah yang telah menghadirkan dua tetamu cilik itu di rumah kami semalam.  Bila memandang wajah Amru dan Nasim, timbul insaf dalam diri terhadap kenaifan orang lain.  Banyak2 lah kita bersyukur terhadap apa jua yang Allah kurnia, jangan kufur nikmat. Bila ada masanya kita  rasa susah, ingat ada lagi orang yang lagi susah dari kita.  Bersyukur dengan nikmat kasih-sayang berkeluarga yang bagi sesetengah orang tidak mampu mendapatkannya. Didoakan agar ke dua-dua Amru dan Nasim dipermudahkan Allah dalam meneruskan perjalanan kehidupan mereka.  Moga menjadi anak yang soleh... ameen.

Tarbiyah Ramadhan


Bismillahirrahmanirrahim

Di-ulang siaran posting tahun sudah, hasil tarbiyah seorang tuan Sheikh bersempena dengan akan hadirnya Ramadhan iaitu bulan yang kita menunggu-nunggu kedatangannya.  Di-ulang siaran sebagai motivasi khusus buat diri sendiri terutamanya dalam menghadapi saat-saat tibanya Ramadhan. Moga mutiara kata dari tuan Sheikh dapat sama-sama dijadikan renungan, di-ambil manafaat agar mampu diterjemahkan ia di dalam kamus kehidupan kita semua, InsyaAllah.

  • Segala puji bagi Allah yang memberi kita agama Islam
  • dan segala puji bagi Allah yang memberi kita keimanan
  • dan segala puji bagi Allah yang telah menjadikan kita umat pembaca al-Quran.
  • dan segala puji bagi Allah yang telah mengumpulkan kita di suatu tempat yang penuh berkat dan di waktu yang penuh berkat
  • kita semua InsyaAllah akan memasuki bulan Ramadhan
  • kita semua di timur dan di barat InsyaAllah akan memasuki bulan Ramadhan
  • tahniah kerana kita akan memasuki bulan syiar al-Quran, bulan suci, bulan yang penuh rahmat, bulan yang akan dilipat-gandakan semua pahala
  • bulan yang pada setiap malamnya Allah akan membebaskan jiwa manusia dari azab siksa api neraka
  • semoga Allah menjadikan kita termasuk dalam orang-orang yang bebas dari api neraka.
  • Bulan Ramadhan adalah sebagai tetamu bagi hati-hati kita
  • bulan tersebut adalah cahaya bagi majlis-majlis kita
  • alangkah mulianya tetamu kita yang akan datang itu
  • alangkan agungnya tetamu yang akan kita jemput nanti
  • sesungguhnya itu adalah tetamu yang mulia yang perlu kita agungkan
  • yang mana semua hati kaum muslimin dan muslimat merasa rindu untuk menyambutnya
  • pada bulan tersebut, para malaikat semua akan berada di semua tempat di bulan Ramadhan
  • bulan di mana kita akan mendapat kelebihan markah, kelebihan kedudukan di sisi Allah Taala
  • bulan di mana waktu kita dapat mendekat diri kepada Allah Taala
  • itu adalah bulan di mana kita cinta al-Quran dan selalu ingin membacanya
  • bulan di mana kita mendapat kelazatan takkala membaca al-Quran dan tak akan dapat mendapatinya di bulan selain dari bulan Ramadhan
  • kita pun nanti akan merasa rindu terhadap ayat-ayat Allah
  • kerana para pembesar2 syaitan pun telah dibelenggu, yang sebelumnya selalu menyekat kita dari berzikir dan mengingat kepada Allah
  • ketika bulan Ramadhan, para pembesar syaitan itu akan dibelenggu oleh Allah, dikekang dari dapat bergerak, terus dalam keadaan itu sehingga berahirnya bulan Ramadhan
  • ketika itu semua hati-hati kita akan merasa tenang untuk berzikir kepada Allah Taala.
    • bulan Ramadhan adalah bulan yang hidupkan hati-hati dan jiwa kita. Jiwa akan lebih tenang
    • Nabi s.a.w mengajarkan untuk hidupkan jiwa kita, baginda s.a.w sering menyarankan untuk sering sering berdoa kepada Allah Taala.
      Firman Allah menyatakan: "Wahai orang-orang yang beriman, jawablah panggilan Allah dan Rasul ketika (Dia) menyeru kepada apa yang menghidupkan kamu..."(Surah al-Anfal:24)
    • Allah mencipta kehidupan kita yang dimulakan dengan kalimah Lailahaillallah. Kita meng'Esa-kan Allah, hanya daripada Allah rezeki diturunkan. Sesungguhnya semua ujian datang dari Allah, segala nikmat yang kita dapati hanyalah dari Allah.
    • Allah menciptakan kita, memberi rezeki pada kita, mengatur kehidupan kita untuk kita melaksanakan 5 rukun Islam iaitu dimulakan dengan mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan haji (bagi yang mampu).
    • itu adalah kehidupan jiwa dan raga kita, semua itu terangkum dalam ayat Allah dalam Surah al-Anfal:24 tersebut: "Wahai orang-orang yang beriman, jawablah panggilan Allah dan Rasul ketika (Dia) menyeru kepada apa yang menghidupkan kamu..."
    • Dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat, InsyaAllah mampu mensucikan hati-hati kita dan fikiran kita., akal fikiran kita akan berusaha memahami ayat-ayat suci al-Quran.
    • jangan kiranya kita merasa sudah cukup membaca al-Quran. Lepas kita baca dan khatam, kita ulangi lagi bermula dengan surah al-Fatihah.
    • berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca, berhenti takkala membaca untuk memahami apa isi ayat tersebut.
    • berusaha memikirkan apa maksud Allah Taala daripada ilmu-ilmu yang kita dapati dari madrasah al-Quran
    • al-Quran adalah kitab yang penuh berkah yang diturunkan, untuk kita memahami apa maksud ayat-ayat tersebut
    • Tahniah bagi orang yang baca Quran dan dia mengerti apa maksud dari ayat-ayat yang dibaca. Dalam Surah al-Zalzalah 7 - 8, Allah berfirman:Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
    • bila kita baca Quran dan mengerti maksud, maka akan timbul rasa takut untuk lakukan kejahatan, takut jika termasuk dalam golongan orang-orang yang nanti akan dihumban ke dalam api neraka.
    • Berusahalah untuk memahami apa isi makna dari surah al-Fatihah kerana kita membaca fatihah sekurang-kurangnya sebanyak 41x dalam sehari. Jagalah solat 5 waktu kita dan jagalah solat-solat sunat.
    • Al-Quran adalah ceramah dan nasihat-nasihat untuk menyembuhkan hati-hati kita.
    • ia merupakan petunjuk dan rahmat bagi kaum muslimin seluruhnya
    • ia adalah kitab yang jelas, kitab yang mulia di sisi Allah
    • tidak ada yang menyentuh al-Quran kecuali orang-orang yang memiliki wudhuk
    • tidak dapat memahami ayat-ayat al-Quran kecuali orang yang memiliki hati yang bersih.
    • adalah termasuk dalam adab dan kesopanan bilamana hendak memegang al-Quran itu, haruslah kita bersuci.
    • tidak ada orang yang memahami ayat-ayat al-Quran kecuali orang-orang yang bersih hatinya. Bersih dari sifat dengki, tidak putus silaturrahim dan tidak berbuat yang buruk terhadap orang lain. Semua perbuatan syaitan dia tinggalkan. Ketika itulah hatinya betul-betul bersih dan mampu memahami ayat-ayat al-Quran.
    • Maka waspadalah bila kita memasuki bulan Ramadhan, jika kita masih memiliki perasaan dengki terhadap kaum muslimin yang lain
        • waspadalah takkala kita memasuki bulan Ramadhan, jika kita memutuskan silaturrahim terhadap keluarga dan sanak saudara kita
        • sebagaimana kita mempersiapkan masjid kita, mempersiapkan makanan dan mempersiapkan pakaian ke masjid untuk sambut Ramadhan, jangan kita lupa bahawa inti atau asas untuk sambut Ramadhan adalah pembersihan hati kita
        • sesungguhnya seluruh dunia dan seluruh perhiasannya tidak dapat membahayakan Allah Taala. Sesungguhnya seluruh zahir kita samada orang kaya atau miskin, orang tinggi atau rendah, orang berkulit putih atau kulit hitam.. tidak berpengaruh di hadapan Allah Taala
        • Allah hanya melihat satu tempat sahaja di dalam tubuh manusia iaitu hati. Maka wajib untuk seluruh kaum muslimin dan muslimat untuk sentiasa cuba membersihkan hati masing-masing
        • kita bersihkan hati kerana mengharap rahmat dan maghfirat dari Allah Taala
        • Sebagaimana ibarat: bila kita tiba-tiba mendapat panggilan mendadak bahawa ada raja yang nak datang melawat rumah kita. Secara spontan kita akan segera membersihkan rumah kita, membersihkan perabot-perabot yang ada dan berusaha mewangikan seluruh ruangan.
        • Maka sesungguhnya tempat pandangan Allah, adalah lebih layak kita membersihkan hati-hati kita agar bersih.
        • hendaklah sebelum memasuki Ramadhan, kita saling bermaaf-maafan sehingga tidak ada perasaan dengki dan benci terhadap sesama muslim. Sehingga bila kita masuk ke bulan Ramadhan kita InsyaAllah mampu termasuk sebagai penghuni Syurga Allah sebagaimana berita gembira yang disampaikan oleh Nabi s.a.w pada para sahabat ra tentang sifat seorang penghuni Syurga. Orang tersebut adalah orang yang selalu solat berjamaah di masjid dan selalu menjaga solat witir di rumahnya. Dia tidur sama seperti orang lain, tidaklah solat sunat sehingga seribu rakaat dan tidak pula berpuasa banyak. Namun dia seorang yang bersih hatinya kerana tiapkali sebelum tidur dia akan memaafkan semua kesalahan orang sehingga tidak ada rasa marah pada keluarga, tetangga dan saudara muslim lainnya.
        • Maka berusahalah kita untuk dapat memaafkan seluruh keluarga dan sahabat-sahabat kita sebelum kita melelapkan mata setiap malam
        • sesungguhnya di dalam Syurga ada suatu kenikmatan yang tak pernah dipandang mata, tak pernah didengar telinga dan tak pernah terlintas di dalam hati manusia
        • Tahniah bagi orang yang selalu berusaha untuk beramal baik di bulan Ramadhan
        • Tahniah bagi orang-orang yang membaca Surah al-Baqarah, tahniah bagi mereka yang melaksanakan adab-adab dan batas-batas yang ada dalam Surah al-Baqarah. Begitu juga ada pada Surah an-Nur, Surah al-Ahzab, begitu juga adab-adab yang ada pada Surah Hujurat dan di seluruh ayat al-Quran pun ada adab-adab Allah Taala. Al-Quran memberi kita batasan-batasan, di dalamnya Allah jelaskan apa perintah Allah yang kita harus taati dan apa larangan yang perlu dijauhi.
        • Tahniah bagi yang baca Surah al-Baqarah dan Surah Ali Imran di mana kedua-dua itu akan menjadi payung di hari kiamat nanti. Surah Al-Baqarah dan surah Ali-Imran dipanggil surah az-Zahrawain yang apabila dibaca akan mendapat syafaat di padang mahsyar kelak.
        • jagalah perintah-perintah Allah dan berlindung diri dari semua perkara yang tak baik dan perkara maksiat yang semuanya disebut di dalam al-Quran
        • Kita akan memasuki bulan Ramadhan, ketika kita di waktu Maghrib, manusia di bumi yang sebelah lagi sedang melaksanakan solat zohor. Dalam 24 jam, sebahagian kaum muslimin berpuasa dan sebahagian yang lain sedang berbuka puasa. Maha Suci Allah Taala Yang Maha Mampu, Maha Suci Allah Taala Yang Maha Agung
        • meskipun ada perbezaan waktu di bumi ini, namun pada 29 Shaaban bila nampak anak bulan maka langsung kita akan berpuasa keesokkan harinya. Kalau tak dapat lihat anak bulan maka Nabi s.a.w meminta kita menyelesaikan bulan Syaaban 30 hari
        • tidak boleh berpuasa sehari sebelum bulan Ramadhan. Nabi s.a.w melarang perbuatan tersebut
        • bila lihat anak bulan Ramadhan kita niat untuk berpuasa 30 hari seluruhnya. Dengan niat,"Sahaja aku berpuasa sebulan di bulan Ramadhan sesungguhnya kerana Allah Taala." Tapi setiap malam kita harus perbaharui niat kita, sebagaimana Nabi s.a.w yang bersabda,"Sesungguhnya segala amal itu bergantung pada niatnya." Mesti perbaharui niat setiap malam dengan niat, "Sahaja aku berpuasa esok hari di bulan Ramadhan sesungguhnya kerana Allah Taala." Dan puasa yang kita amalkan nanti hendaklah kita berpuasa seluruh anggota badan kita. Ajar anak-anak kita berpuasa
        • hendaklah kita mencontohi puasa yang benar oleh para sahabat ra agar puasa itu menjadi ubat bagi kita. Semasa berbuka puasa hanya makan yang sedikit sahaja, hanya secukupnya. Sehingga kita akan merasai lazatnya berpuasa. Sehingga bilamana kita makan sedikit, pada waktu dhuha dan waktu zohor kita telah merasakan lapar. Dari situ kita akan ikut dapat merasakan lapar yang sering di-alami oleh orang-orang miskin
        • berbelas kasihan lah terhadap orang-orang fakir dan miskin di bulan Ramadhan, banyakkanlah bersedekah pada orang-orang yang memerlukan bantuan
        • hendaklah kita beribadat di malam hari, berqiamulail dan sebahagian malam hendaklah kita bersolat tahajjud. Semoga Allah Taala akan memberikan kita kedudukan yang mulia di akhirat nanti
        • Bulan Ramadhan adalah bulan yang kita menunggu-nunggu kedatangannya. Ada malam di bulan Ramadhan yang lebih baik dari seribu bulan, di bulan Ramadhan para malaikat pun ikut bersesak-sesak di dalam masjid
        • maka mintalah bantuan daripada Allah, rasa rindulah untuk sambut Ramadhan. Semoga Allah menyampaikan kita kepada bulan Ramadhan.
        • Allah Taala mendidik kita dengan adab-adabNya melalui al-Quran dan menjadikan kita tahu hakikatnya. Moga Allah memberi kita pemahaman untuk dapat memahami ayat-ayat suci al-Quran, moga Allah memberi kita rahmatNya sebagaimana yang diberikan kepada kaum solehin, moga Allah memberi keampunan kepada kita... aminn

        • Wallahu'alam.




      Al-kisah Cikgu Ibrahim

      Bismillahirrahmanirrahim

      Tak dapat ditahan airmata dari mengalir laju lepas baca kisah ini. Sedihnya... 
      Sumber dari Laman Muhandis(garamsicho.blogspot.com) dan sumber asalnya dari HarakahDaily(tulisan Tuan Ibrahim Tuan Man).  Saya setiap hari baca HarakahDaily tapi kisah ini nampaknya cikli yang dapat kesan dulu...huuu... terimakasih cikli  :)

      Cikgu Ibrahim mengajar di sebuah sekolah rendah. Di depan kelas darjah 4 pada hari pertama persekolahan, beliau memberitahu para pelajar satu pembohongan.

      Seperti guru-guru yang lain, Cikgu Ibrahim memberitahu para pelajarnya bahawa beliau sayang mereka secara setara. Tapi mustahil, kerana di depan kelasnya ada seorang pelajar lelaki bernama Jimmy yang tidak bermaya dan lemah semangat.

      Cikgu Ibrahim telah memperhatikan Jimmy sejak tahun lepas. Dia ini tak bergaul dengan rakan-rakan sekolah dan suka menyendiri. Pakaiannya dan rambutnya tidak terurus. Nampak comot dan kurang bersih. Cikgu Ibrahim tidak suka kepadanya.

      Cikgu Ibrahim tidak berniat nak mengajar Jimmy. Kerja rumahnya yang teruk dipangkah “X” dengan besar-besar tanpa diajar. Peperiksaan bila Jimmy gagal, Cikgu Ibrahim sudi menulis dengan pen warna merah. Kadang-kala terasa juga nak tulis “Padan Muka!” di atas kertas tersebut.

      Tiba masa untuk menulis rekod pelajar pertengahan tahun. Cikgu Ibrahim meninggalkan buku rekod Jimmy di bahagian terakhir. Menyampah nak baca dan tulis untuk pelajar yang malas, tak bermaya, tak terurus dan dibencinya ini.

      Cikgu Ibrahim menyiapkan laporan untuk pelajar-pelajar yang lain dahulu. Akhirnya tiba giliran buku rekod Jimmy.

      Mahu tidak mahu, Cikgu Ibrahim terpaksa membaca rekod Jimmy sejak Darjah 1 sehinggalah sekarang sebelum mencatat prestasi Jimmy berdasarkan pengamatan beliau.

      Darjah 1, cikgu Jimmy menulis:
      “Jimmy seorang pelajar yang sangat pintar dan kemas kerjanya. Senyumannya begitu bersemangat sehinggakan seluruh kelas mencontohi tingkahlaku beliau. Beliau mendapat tempat nombor 1 di sekolah dan aktif dalam sukan.”

      Darjah 2, cikgu Jimmy menulis:
      “Jimmy seorang pelajar yang sangat disukai semua guru dan rakan-rakan sekolah. Jimmy masih mengekalkan keputusan cemerlangnya meskipun bapanya terkena penyakit kronik dan ibunya terpaksa sara keluarga. Kehidupan di rumahnya tentu mencabar.”

      Darjah 3, cikgu Jimmy menulis:
      “Bapa Jimmy meninggal. Jimmy cuba sedaya untuk fokus tapi ibunya kerana terpaksa sara keluarga terus mengabaikannya. Bantuan mesti diberikan jika tidak kehidupan keluarga akan ada negatif impak pada Jimmy. Keputusan Jimmy dah mula merundum dan lebih menyendiri. Jimmy dah mula tak buat kerja rumah dan tidur di dalam kelas.”

      Setelah membaca ketiga-tiga laporan itu, Cikgu Ibrahim berasa bersalah mempunyai sangka buruk pada Jimmy sejak awal. Beliau sebak seketika dan tidak menulis laporan dalam buku rekod Jimmy.

      Rupa-rupanya Jimmy jadi begitu ada kisahnya – Cikgu Ibrahim berasa malu.

      Pada sambutan Hari Guru, Cikgu Ibrahim menerima hadiah daripada semua pelajar dalam kelasnya termasuk dari Jimmy. Semua hadiah dibungkus dengan cantik kecuali hadiah Jimmy yang hanya dibalut dengan kertas kuning comot.

      Cikgu Ibrahim memilih untuk membuka hadiah Jimmy dulu di depan kelas. Rakan-rakan sekelasnya ketawa hadiah comot yang dihadiah oleh Jimmy. Dalamnya ada satu cincin dan sekotak bedak usang.

      Cikgu Ibrahim menyuruh kelasnya diam. Beliau memakai cincin tersebut dan meletakkan sedikit bedak di lehernya.

      Jimmy tersenyum tapi tidak berkata apa-apa. Ini pertama kali Cikgu Ibrahim melihat Jimmy tersenym.

      Selepas habis sekolah, Cikgu Ibrahim terserempak Jimmy yang menunggu di tepi keretanya seorang diri.

      “Apa hal Jimmy?”

      “Tak ada apa. Cuma nak beritahu, Cikgu hari ini bau dan nampak seperti bapa saya. Terima kasih,” kata Jimmy sebelum beredar.

      Masya-Allah. Mata Cikgu Ibrahim menjadi merah.

      Mulai hari itu, Jimmy menjadi pelajar yang diberi perhatian khusus oleh Cikgu Ibrahim. Cikgu Ibrahim berhenti mengajar matematik, menulis dan membaca. Beliau kini mula mendidik para pelajarnya sebagai seorang ibubapa.

      Hubungan Cikgu Ibrahim dengan Jimmy bertambah baik. Jimmy memberikan perhatian dalam kelas dan setiap kata Cikgu Ibrahim. Pada akhir tahun, Jimmy kembali mendapat nombor 1 di dalam sekolah.

      Pada akhir tahun darjah 4, Jimmy meninggalkan sekeping nota di kereta Cikgu Ibrahim.

      “Cikgu adalah cikgu terbaik di dalam hidup saya. Dalam pepatah Cina, satu hari sebagai cikgu saya ialah sama dengan seumur hidup menjadi bapa saya. Saya sayang cikgu. Terima kasih kerana memakai bedak dan cincin bapa saya. Akhirnya, saya jumpa bapa saya kembali ke sisi saya.”

      Cikgu Ibrahim sekali lagi menitis air mata.

      Semenjak itu, Cikgu Ibrahim dan Jimmy menjadi sangat rapat sehinggalah ke sekolah menengah yang hanya di depan sekolah rendah. Setiap kali Jimmy mendapat keputusan cemerlang, Jimmy akan mengirimkan nota, “Cikgu masih cikgu terbaik dalam hidup saya. Tanpa cikgu, takkan ada Jimmy hari ini.”

      Sebelum Jimmy ke Universiti di sebelah selatan, Cikgu Ibrahim mengajak Jimmy berjumpa untuk memberikan sedikit duit sebagai bekalan.

      “Cikgu harap hubungan ini berterusan sampai akhir hayat,” kata Cikgu Ibrahim.

      Jimmy berfikir sejenak…

      “Apa kata cikgu jadi ayah angkat saya? Macam ini, pasti takkan putus hubungan,” kata Jimmy.

      “Cikgu dah lama anggap Jimmy sebagai anak. Cuma Jimmy tak panggil ayah saja lagi,” jawab Cikgu Ibrahim.

      Jimmy terus memeluk Cikgu Ibrahim, “Ayah. Saya dah lama nak panggil ayah. Sejak bapa tiada, anakanda dah lama anggap cikgu sebagai ayah. Kalau bukan ayah masih percayakan anakanda darjah 4 dulu, anakanda dah tak tahu hanyut ke mana.”

      “Terima kasih anakanda. Ayah yang patut ucap terima kasih. Ayah selama ini tak tahu mendidik sehinggalah ayah terjumpa anakanda darjah 4 lalu,” jawab Cikgu Ibrahim.

      Selamat Hari Guru.



      Bila Waktu Telah Berakhir

      Bismillahirrahmanirrahim

      bagaimana kau merasa bangga
      akan dunia yang sementara
      bagaimanakah bila semua hilang dan pergi
      meninggalkan dirimu
      bagaimanakah bila saatnya
      waktu terhenti tak kau sedari
      masihkah ada jalan bagimu untuk kembali
      mengulangkan masa lalu
      dunia dipenuhi dengan hiasan
      semua dan segala yang ada akan
      kembali padaNya
      bila waktu telah memanggil
      teman sejati hanyalah amal
      bila waktu telah terhenti

      teman sejati tinggallah sepi

      (Bila Waktu Telah Berakhir - Opick)


      Ustaz dalam kuliahnya menyebut tentang mati. Mati ini, kata ustaz, semua orang takut. Takut sebab apa? Takut sebab kena masuk kubur, takut bila akan ditinggalkan seorang diri di kubur, takut dengan keadaan yang akan ditempuh di dalam kubur, takut untuk berhadapan dengan malaikat di dalam kubur, takut terhadap hari akan dibangkitkan di padang masyhar, takut menghadapi hari perhitungan amal, takut akan balasan Allah, takut masuk neraka dan takut pada azab seksa api neraka... 

      Kata ustaz, kita semua dapat menghindari rasa takut pada mati itu jika semasa hidup ini kita semampunya berpegang pada al-quran dan sunnah Nabi SAW. Jika ikut dua jalan tersebut InsyaAllah hidup kita tidak akan sesat selama-lamanya. "Maghi lah gajah rimau sekalipun kita tak akan takut, pegilah ke langit ijau ke, langit biru ke, kita tidak akan sesat bilamana kita berpegang pada dua jalan ini", kata ustaz. 

      Kita duduk di bawah jajahan takluk Allah Taala. Kita ini sekadar menumpang...  Suka atau tidak, kita semua tidak akan terlepas dari masuk ke lubang kubur. Kita akan duduk di dalam kubur selama bertahun-tahun, malah mungkin berpuluh dan beratus tahun sebelum kita dibangkitkan ke Padang Masyhar bila berlakunya hari Kiamat. Tidak dapat dibayangkan bagaimana azab di dalam kubur, ini belum lagi sebut pasal sengsara yang akan ditempuh di Padang Masyhar. Di Padang Masyhar kita akan dihimpun menunggu giliran untuk dihisab segala amalan yang diperlakukan semasa di dunia. Semua menunggu giliran dalam keadaan mengharung peluh mengikut 'kadar amalan masing-masing' ketika hidup di atas mukabumi. Orang yang sombong dan angkuh semasa di dunia, akan Allah jadikan dia serendah-rendah makhluk di akhirat nanti. 

      Dari Miqdad r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Pada hari Kiamat, matahari akan dihampirkan pada semua makhluk sehingga tinggal sebulan perjalanan dari bumi. (Disebabkan kepanasan) manusia akan berpeluh mengikut kadar amalannya. Lebih banyak keburukan yang dilakukannya lebih banyak peluh yang dikeluarkan sehingga ada yang sampai ke buku lali, sebahagiannya ada yang sampai ke lutut, sebahagiannya ada yang sampai ke pinggangnya dan sebahagian ada yang sampai ke mulutnya. Rasulullah SAW menunjukkan tangannya ke arah mulutnya (iaitu hingga sampai ke sini).  
      (HR Muslim)

      Maka pesan ustaz, buatlah suatu persediaan sebelum kita semua balik kepada Allah. Jangan pandang rendah pada amalan kebaikan walaupun kecil. Buat baik InsyaAllah balasannya baik. Bila tengok orang susah, bantulah walaupun yang ada pada kita waktu itu hanya RM5. Tak dapat tolong banyak, tolong lah walaupun sikit. Hari ini kita senang, esok lusa susah.. kita tak tahu. Tiba waktu susah, bila ada orang tolong kita, di saat itu baru terasa begitu syukurnya kita waktu itu kerana ada insan yang sudi hulurkan bantuan. 

      Buatlah sekadar mampu kita. Istiqamah melakukan apa jua amalan baik. Bila balik dari masjid contohnya, jika teringat nak mengaji, buatlah terus. Jangan waktu malaikat datang nak ambik nyawa kita, saat itu baru sibuk nak ambil quran nak mengaji. Jangan terbiasa dengan rutin bila masuk rumah je, hanya tahu nak pasang radio, nak ON-kan TV. Jika dah ada niat nak baca Qulhuwallah selepas masuk rumah, selesaikan dulu membacanya sebelum mula buat perkara-perkara lain. 

      Sesungguhnya, nikmat kesihatan dan nikmat kelapangan masa selalu saja manusia persiakan. Masa sering berlalu begitu sahaja, masa sering habis sia-sia. Mari renungkan, kita yang sekarang ini berada di 5 Rejab, sempatkah nanti untuk kita bertemu dengan Ramadhan? Sempatkah nanti kita bertaddarus di bulan Ramadhan yang akan datang ini? Wallahu'alam.

      Marilah segera kita bertaubat pada Allah. Gunakan masa yang mustajab sebaik-baiknya untuk bertaubat pada Allah. Di antara waktu yang mustajab ialah pada waktu pagi sebelum Subuh. Bangunlah, bersungguh-sungguhlah melakukan ketaatan pada Allah dengan bersolat, beristighfar dan berdoa kepada Allah Ta'ala. Diri kita bila buat dosa baik kecil atau besar, bila kita sedar segeralah bertaubat. Jangan tangguh, jangan tunggu esok. Ingat kita dah dekat dah pada mati. Disebut ada pelbagai seksa kubur yang menanti orang-orang yang derhaka pada Allah termasuk akan dihimpit kubur sehingga patah kesemua tulang, akan datang 70 ekor ular yang berbisa dan banyak lagi. 

      "Muslimin muslimat... tidak rasa takutkah kita?", tanya ustaz. "Adakah malam ini kita masih bercita-cita untuk nak buat dosa lagi esok? Balik malam ini, kita buatlah perubahan. Mati itu makin dekat. Hari ini kita dengar berita kematian orang disampaikan pada kita, maka akan tiba satu hari nanti berita kematian kita pula disampai-kan orang..."

      Surah al-Waqiah

      Bismillahirrahmanirrahim

      Rasulullah SAW telah bersabda: 
      "Barangsiapa membaca surah Al-Waqiah pada setiap malam tidak akan ditimpa kepapaan."

      Surah Al-Waqi'ah adalah surah ke-56 dalam Al-Quran. Surah ini terdiri atas 96 ayat dan termasuk golongan surah Makkiyah.Surah yang diturunkan sesudah surah Ta Ha ini dinamai dengan Al Waaqi'ah (Hari Kiamat), diambil dari perkataan Al Waaqi'ah yang terdapat pada ayat pertama.

       
      reciter Muhammad Jibril



      Kisah Tha'labah


      Bismillahirrahmanirrahim.

      Dalam forum di masjid dua malam lalu, salah-seorang Imam Muda yang menjadi ahli panel telah menceritakan tentang kisah Tha'labah, seorang pemuda berjiwa luhur yang akhirnya meninggal dunia di atas ribaan Rasulullah SAW.  "Balik ni, google cari kat mama eh kisah Tha'labah...", kata saya pada kak Ngah yang ikut khusyuk mendengar di sebelah.  Kami sekeluarga beramai-ramai hadir di forum yang ketiga2 mereka (ahli panel dan tuan moderator) terdiri dari Imam Muda. Banyak kupasan menarik yang mencerna minda dibentangkan oleh para Imam Muda.  Saya dan kak Ngah sempat bersalam dengan salah seorang isteri Imam Muda ketika kami bertembung di tempat letak kereta sebelum semua beredar dari kawasan masjid.  Alhamdulillah terimakasih sudi ke sini.

      Mari kita selusuri kisah Tha'labah yang menyentuh hati.  
      ..........................................

      Tha'labah adalah seorang remaja yang begitu hebat di zaman Rasulullah SAW. Namanya ialah Tha'labah bin Abdul Rahman, seorang remaja yang berusia 17 tahun. Setelah memeluk Islam, beliau selalu keluar mengikuti Rasulullah SAW. Jika Rasulullah berhajatkan akan sesuatu, baginda SAW sering mengkhabarkannya kepada Tha'labah.

      Suatu hari Rasulullah SAW menyuruh Tha'labah mencari sesuatu. Ketika dalam perjalanan mencari barang yang Rasulullah SAW hajati itu, Tha'labah telah melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup membuatkan pintu tandas rumah tersebut juga terbuka, dan ketika itu Tha'labah tanpa sengaja telah terlihat akan seorang perempuan yang sedang mandi. 

      "A'uzubillah! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah SAW! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran  yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah..."
      Dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah SAW. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang dipuncaknya ada sebuah gua. Tha'labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Tha'labahmenangis dan menangis, beliau kesal amat dengan dosanya.
      Pada masa yang sama, Rasulullah SAW menanti kepulangan Tha'labah beberapa hari namun Tha'labah tidak kunjung tiba. Lalu Rasulullah SAW mengarahkan Saidina Umar RA untuk mencari Tha'labah dan beliau terjumpa Tha'labah di tempat dia bersembunyi di puncak bukit.Umar berkata "Tha'labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."
      "Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku, sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah, aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk neraka." Kata Tha'labah dalam ketakutan yang amat sangat. Oleh sebab Tha'labah sudah tersangat lemah, Saidina Umar RA memimpinnya pulang ke rumah. 
      Apabila Rasulullah SAW menziarah Tha'labah, Tha'labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tha'labah.
      TetapiTa'labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "Kenapa wahai Tha'labah?"
      "Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tha'labah.
      "Apa yang kamu mahu Tha'labah?"
      "Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah."
      "Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"
      "Cita-cita aku hanya Syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku wahai Rasulullah."
      Lalu Rasulullah SAW berkata, "Wahai Tha'labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."

      Tidak lama selepas itu, Tha'labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.
      Ketika mayat Tha'labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha'labah. Tetapi Rasulullah berjalan merapati kubur Tha'labah dalam keadaan berjalan yang perlahan, dan seperti tersekat-sekat.

      Sahabat-sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"
      Rasulullah menjawab, "Kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha'labah ke kubur."

      Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Tha'labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah SWT walaupun beliau tidak sengaja terpandang perempuan yang sedang mandi itu. Begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah SWT, dan akhirnya menhembus nafas yang terakhir di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan. Subhanallah!

      Lihat diri kita. Apakah kita menyesal dan bertaubat setelah berbuat dosa yang sengaja? Apakah kita sedar, dan menyesal serta bertaubat setelah berbuat dosa yang tidak sengaja?
      Tepuk dada, tanya iman. Moga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita.
      sumber: www.iluvislam.com, TQVM  :)


      Wallahu'alam.

      Menjelang Pilihanraya

      Bismillahirrahmanirrahim

      Menjelang pilihanraya yang InsyaAllah akan berlangsung tak lama lagi, macam-macam kisah yang timbul antara kami dan kawan-kawan.  Saya semalam sempat ber'whatsapp' dengan beberapa orang rakan.  Semua tengah semangat cerita-cerita pasal politik.  

      Ada antaranya yang semangat bukan setakat jadi penyokong setia saja tapi dibuktikan lagi dengan status nama yang dah siap disemak... InsyaAllah konfem tersenarai sebagai salah seorang pengundi berdaftar yang sah..  untung la...

      Namun ada juga yang semangatnya bukan main lagi, tapi sayangnya tak dapat lah pulak pergi mengundi.  Sebab apa tu tak dapat?  Sebabnya tak lain, sebab tak mendaftar.... Adoiii...kenapa la tak daftar.  Nak marah ada nak tergelak pun ada dekat kawan saya tu.  Heran betul... diaorang ni punya la lama ada masa dan peluang untuk mendaftar, tapi tak pegi-pegi jugak mendaftar.  Saya hanya mampu kata... "Oya ke.. laa.. takpelah kalu gitu tolong doa je la ya, nak daftar sekarang pun ase cam tak sempat da....huuu

      Boleh pulak ada yang kata..."Nak tau, bukan kita sorang je tau yang tak pernah ngundi, kawan2 kat ofis pun ramai yang tak ngundi.. diaorang pun tak daftar..." 

      "Ohhh... macam tu ke... La rugi la kalau macam tu", balas saya.  

      Tapi beliau cuba cover..."takpe, nanti nak daftar untuk ngundi yang lima tahun lagi..."

      Sebagai penutup saya balas lah..."ya lah, tu pun kalau kita ada lagi time tu kan..."

      Sebenarnya kan, kalau kita bersemangat cakap2 politik, lepas tu kita sempurnakan lagi semangat kita dengan pergi pangkah undi, maka akan terbit suatu kepuasan dalam diri sebab kita bukan orang yang setakat cakap2 kosong... bukan setakat ikut orang ramai2 berhujah sebaliknya kita buktikan yang kita betul2 jalankan tanggungjawab kita sebagai seorang Islam warganegara Malaysia, dengan pergi pangkah undi pada hari berlangsungnya pilihanraya... Itu yang sepatutnya...

      En suami tadi cerita dalam talipon, masa balik dari solat Jumaat ramai2 satu kereta, ada yang ajak singgah 'bilik gerakan' konon nak ambik bendera.  Tapi dalam semangat2 nak bawak balik gantung bendera tu, bila ditanya pasal mengundi nanti kat mana, jawapannya.. nama ada kat kampung jadi tak sure lagi dapat balik ke tak mengundi... Aduhh macam tu pulak... apasal la tak siap2 tukar tempat mengundi awal-awal dulu bang.. ish ish

      Kawan saya yang sorang ni pulak memang maintain bersemangat sejak dulu. Ditambah pulak besan beliau merupakan salah seorang calon yang akan bertanding di sebelah utara InsyaAllah.  Nak kongsi kata2 semangat yang di 'whatsapp' kan pada saya semalam... "Memenangkan Islam adalah tanggungjawab.  Mentadbir ikut syariat Islam juga adalah tanggungjawab... maka umat Islam wajib mengundi... kalah tak mengapa tapi jika Islam kalah kerana disebabkan orang Islam tak mengundi, dah tentu pasti dia akan di tanya di akhirat nanti..."

      Saya pun jawab la... "Alhamdulillah... sama2 kita bantu serapkan cahaya Allah... masih ramai yang 'atas pagar' kat luar sana..."

      ................................................

      Alhamdulillah, saya dah jadi ahli.  Dah dapat pun kad keahlian.  Tapi en suami punya belum sampai lagi... sangkut pulak padahal hari tu kami mendaftar sekali.  Ada kad ahli ni senang.  Ada dulu kawan masjid saya cerita, satu hari tu dia tertinggal IC semasa sedang berurusan.  Cari2 dalam dompet, nasib baik ada kad ahli.  Kawan saya tu pun terus keluarkan kad ahli beliau sambil kata..."pakai kad ni je, agak2 boleh...?" Alhamdulillah, kad ahli beliau rupanya dapat membantu bilamana kerani kat kaunter tu dengan senang hati kasi green light sambil tersenyum.

      Ramai yang kata, tarikh pilihanraya akan di-umumkan dalam waktu terdekat ini.  Maka, Selamat keluar mengundi ya semua.  Jangan biarkan rugi satu undi hanya disebabkan kita... Wassalam.